ENAKMEN 16 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI JOHOR) 2003

BAHAGIAN VII - MASJID



Fasal 102. Tempoh jawatan Pegawai Masjid.

(1) Pelantikan seseorang Pegawai Masjid selain Imam, Bilal dan Noja bagi masjid yang ditetapkan di bawah subseksyen 100(2) atau disifatkan telah dilantik di bawah subseksyen 100(4) sebagai Pegawai Masjid, boleh ditamatkan dengan notis bertulis oleh Majlis.

(2) Tiada seorang pun Pegawai Masjid yang dilantik atau disifatkan dilantik di bawah subseksyen 100 (4) boleh terus memegang jawatan itu selepas mencapai umur enam puluh tahun:

Dengan syarat Majlis boleh, jika difikirkannya sesuai, melantik mana-mana orang menjadi Pegawai Masjid walaupun orang itu telah mencapai umur 60 tahun atau melanjutkan tempoh perkhidmatan Pegawai Masjid yang telah mencapai umur 60 tahun.

(3) Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid hendaklah memaklumkan kepada Majlis apa-apa kelakuan mana-mana Pegawai Masjid, sama ada yang berhubungan dengan tugas-tugasnya yang mencemarkan namanya sebagai Pegawai Masjid atau selainnya, dan membuat apa-apa syor yang munasabah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.