ENAKMEN 8 TAHUN 1991
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI MELAKA) 1991

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN.
BAB 9 - MEMPASTIKAN KEBENARAN KETERANGAN SAKSI



Seksyen 121. Pemeriksaan rahsia.

(1) Pemeriksaan rahsia hendaklah dibuat dengan surat Rahsia di mana Hakim menulis nama pihak kena tuntut atau pihak kena dakwa dan perkara yang dituntut atau didakwa, juga nama saksi, pengenalan, pekerjaan, tempat tinggal bagi memperkenalkan dan menerangkan saksi tersebut dengan cara yang jelas.

(2) Maklumat itu dimasukkan ke dalam satu sampul yang dimeteri, sampul itu kemudiannya diberi kepada orang yang dipilih untuk menjadi pemeriksa saksi. Sebaik sahaja sampul itu diterima dan dibaca oleh pemeriksa saksi, ia hendaklah menulis di bawah nama saksi itu perkataan "adil" jika didapati saksi itu adil dan "tidak adil" jika didapati saksi itu tidak adil serta menandatangani dan menghantarkan surat itu kembali kepada Hakim.

(3) Apabila "Surat Rahsia" itu dikembalikan kepada Hakim dan tidak terdapat perkataan "adil" dari pemeriksa saksi tentang saksi tersebut, tetapi terdapat perkataan yang memberi makna tidak adil (jurh) secara jelas atau tersirat, Hakim bolehlah meminta pihak menuntut atau mendakwa membawa saksi lain.

Huraian-Jika pemeriksa itu menulis-Saksi tidak adil atau ia tidak mengetahui hal keadaan saksi itu atau keadaan tidak diketahui atau menulis Wallahu 'A' alam atau ia tidak menulis apa-apa perkataan, Hakim tidak boleh menerima keterangan saksi tersebut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.