ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN IV - KESALAHAN
Darihal keterangan palsu dan kesalahan-kesalahan terhadap keadilan awam



Seksyen 81. Mereka keterangan palsu.

Mana-mana orang yang menyebabkan adanya sesuatu keadaan atau membuat apa-apa catatan palsu dalam sesuatu buku atau rekod, atau membuat apa-apa dokumen yang mengandungi sesuatu kenyataan palsu, dengan maksud supaya keadaan, catatan palsu, atau kenyataan palsu itu boleh timbul dalam keterangan dalam suatu prosiding kehakiman atau dalam suatu prosiding yang dijalankan di sisi undang-undang di hadapan seseorang penjawat awam atau di hadapan seseorang penimbangtara dan supaya keadaan, catatan palsu, atau kenyataan palsu, yang demikian itu timbul dalam keterangan boleh menyebabkan seseorang yang kena membuat sesuatu pendapat atas keterangan dalam prosiding itu, melayani suatu pendapat yang silap mengenai sesuatu perkara yang material kepada keputusan prosiding itu, adalah dikatakan "mereka keterangan palsu".

MISALAN-MISALAN

(a) A. memasukkan barang-barang kemas ke dalam sebuah peti kepunyaan Z., dengan niat supaya barang-barang itu boleh dijumpai dalam peti itu, dan supaya keadaan ini boleh menyebabkan Z. disabitkan atas kesalahan mencuri. A. telah mereka keterangan palsu.

(b) A. membuat suatu catatan palsu dalam buku akaunnya bagi maksud hendak menggunakannya sebagai keterangan menyokong dalam Mahkamah. A. telah mereka keterangan palsu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.