ENAKMEN 5 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK (NEGERI MELAKA) 1991

BAHAGIAN III - KEWANGAN
AKAUN



Seksyen 36. Penubuhan Baitulmal


(1) Satu Kumpulan Wang yang akan dinamakan Baitulmal hendaklah ditubuhkan, melainkan sebagaimana yang disyaratkan sebaliknya menurut peruntukan-peruntukan Enakmen ini. Pentadbiran Baitulmal termasuklah pegawai dan kakitangan di bawahnya hendaklah diletak di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka. Baitulmal hendaklah mengandungi semua wang dan harta alih dan tak alih, yang mengikut Hukum Syarak atau menurut peruntukan-peruntukan Enakmen ini atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya yang terakru atau didermakan oleh seseorang atau kena dibayar kepada Kumpulan Wang itu.

(2) Semua zakat dan fitrah yang dipungut mengikut Bahagian ini hendaklah dibayar ke dalam satu akaun yang berasingan dalam Baitulmal.

(3) Semua wang dan harta dalam Baitulmal hendaklah terletak hak pada Majlis yang hendaklah mentadbirkan semua wang dan harta itu mengikut kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini:

Dengan syarat bahawa mana-mana pelaburan aset dan kumpulan wang yang dilabur pada Majlis boleh dijual, dihasilkan dan dilupuskan dan hasil-hasil daripadanya boleh dilaburkan dari masa ke masa dalam mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa ini berkuatkuasa bagi pelaburan kumpulan-kumpulan wang amanah.

(4) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Enakmen ini, Majlis boleh membuat kaedah-kaedah bagi pemungutan, pentadbiran dan pembahagian semua harta Baitulmal dan hendaklah diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.