ORDINAN 43 TAHUN 2001
ORDINAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM, 2001
BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Permulaan kepada Perkahwinan.
Seksyen 22. Akad nikah perkahwinan di Kedutaan-kedutaan, dsb., Malaysia di luar negeri.
(1) Tertakluk kepada subseksyen (2) dan seksyen 14 (5), sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan mengikut Undang-Undang Islam oleh Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 26 (3) di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di mana-mana negara yang telah tidak memberitahu Kerajaan Malaysia tentang bantahannya terhadap pengakadnikahan perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul itu.
(2) Sebelum mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini, Pendaftar hendaklah berpuas hati-
(a)
bahawa satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu adalah pemastautin di dalam Negeri;
(b)
bahawa tiap-tiap satu pihak mempunyai keupayaan untuk berkahwin mengikut Undang-Undang Islam dan Ordinan ini; dan
(c)
bahawa, jika salah satu pihak bukan pemastautin dalam Negeri; perkahwinan yang dicadangkan itu, jika diakadnikahkan, akan dikira sebagai sah di tempat di mana pihak itu bermastautin.
(3) Tatacara bagi akadnikah dan pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini adalah serupa dalam serba perkara dengan yang dipakai bagi perkahwinan-perkahwinan lain yang diakadnikahkan dan didaftarkan di dalam Negeri di bawah Ordinan ini seolah-olah Pendaftar yang dilantik untuk sesuatu negara asing adalah seorang Pendaftar untuk Negeri.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.