ENAKMEN 14 TAHUN 1978
ENAKMEN PENTADBIRAN IGAMA ISLAM 1978

BAHAGIAN VI - NAFKAH TANGGUNGAN DAN HADHANAH



Seksyen 133. Nafkah isteri dan kehadiran di Mahkamah.

(1) Seorang isteri boleh dengan permintaanya di dalam Mahkamah mendapat satu perintah terhadap suaminya kerana bayaran dari semasa ke semasa sebanyak mana wang berkenaan dengan nafkah yang ia boleh berhak menerimanya mengikut Hukum Syarak dengan syarat bayaran tuntutan nafkah isteri itu hendaklah dibayar bagi satu tempoh tidak lebih daripada tiga tahun Masihi dikira terdahulu dari tarikh ianya menuntut nafkah itu.

(2) Seseorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya boleh dengan permintaannya di Mahkamah mendapat perintah terhadap bekas suaminya kerana bayaran di dalam 'iddahnya, jika cerai itu dengan talak satu atau dua ataupun di dalam tempoh ianya mengandung dengan bekas suaminya, sebanyak mana nafkah yang ia boleh berhak menerimanya dan lain-lain perbelanjaan yang munasabah mengikut Hukum Syarak dengan syarat bayaran tuntutan nafkah 'iddah itu hendaklah dibayar bagi satu tempoh tidak lebih daripada satu tahun Masihi dikira terdahulu dari tarikh ianya menuntut nafkah itu.

(3) Seorang perempuan yang telah bercerai daripada suami atau seorang lelaki yang telah bercerai daripada isterinya boleh dengan permintaannya di Mahkamah mendapat perintah terhadap bekas isterinya atau bekas suaminya mengenai pembahagian harta sepencarian.

(4) Dengan tidak menyentuh kepada seksyen 80 di dalam Enakmen ini atau mana-mana peruntukan di dalam Enakmen ini, Mahkamah selepas berpuashati bahawa seorang suami sedang mengelakkan penyerahan saman, atau suratan Mahkamah (process) atau oleh kerana apa juga sebab yang pada pendapat Mahkamah adalah menasabah, boleh mengeluarkan waran tangkap samada dengan ada jaminan atau tidak untuk mempastikan kehadiran suami itu di Mahkamah.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.