ENAKMEN 6 TAHUN 1996
ENAKMEN KETERANGAN SYARIAH 1996
BAHAGIAN 3 - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 8 - PEMERIKSAAN SAKSI
Seksyen 101. Mahkamah memutuskan bila soalan-soalan hendak ditanya dan bila saksi dipaksa menjawab.
(1) Jika sesuatu soalan adalah berhubungan dengan sesuatu perkara yang tak relevan dengan guaman atau prosiding itu, kecuali setakat yang soalan itu menyentuh kebolehpercayaan saksi itu dengan mencela wataknya, maka mahkamah hendaklah memutuskan sama ada saksi itu boleh dipaksa menjawab soalan itu atau tidak, dan mahkamah boleh, jika difikirkannya tidak patut memaksa saksi itu menjawab soalan itu, mengingatkan saksi itu bahawa dia tidak terpaksa menjawabnya.
(2) Pada menjalankan budi bicaranya, mahkamah hendaklah mengambil perhatian akan perkara-perkara yang berikut
---
(a) soalan-soalan itu adalah wajar jika ia sedemikian rupa hingga kebenaran tohmahan yang dibayangkan olehnya itu akan benar-benar menyentuh pendapat mahkamah tentang kebolehpercayaan saksi itu atas perkara yang dinyatakannya;
(b) soalan-soalan itu adalah tak wajar jika tohmahan yang dibayangkan olehnya itu adalah berhubungan dengan perkara-perkara yang telah berlaku sebegitu lama dahulu atau yang berkeadaan sedemikian sehingga kebenaran tohmahan itu tidak akan menyentuh atau akan menyentuh sedikit sahaja pendapat mahkamah tentang kebolehpercayaan saksi itu atas perkara yang dinyatakan;
(c) soalan-soalan itu adalah tak wajar jika terdapat ketakseimbangan besar antara kepentingan tohmahan yang dibuat ke atas watak saksi itu dengan kepentingan keterangannya;
(d) mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, mengambil kesimpulan daripada keengganan saksi itu menjawab bahawa jawapannya jika diberikan tidak akan memberikan faedah kepadanya.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.