ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN III - DARIHAL SUBAHAT



Seksyen 35. Pensubahat.

Seseorang adalah menyubahati sesuatu kesalahan jika ia bersubahat melakukan sesuatu kesalahan, atau bersubahat melakukan sesuatu perbuatan yang akan menjadi suatu kesalahan, sekiranya dilakukan oleh seseorang yang berupaya di sisi undang-undang melakukan sesuatu kesalahan dengan niat atau pengetahuan yang sama dengan niat atau pengetahuan pensubahat itu.

Huraian 1
-Menyubahati sesuatu perbuatan ditinggalkan dengan menyalahi undang-undang boleh terjumlah kepada suatu kesalahan, sungguhpun pensubahat itu sendiri tidak terikat melakukan perbuatan itu.

Huraian 2
-Bagi menjadikan kesalahan subahat, tidaklah perlu bahawa perbuatan yang disubahati itu dilakukan, atau bahawa kejadian yang cukup bagi menjadikan kesalahan itu disebabkan.

MISALAN

A
. menghasut B. supaya meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut. B. enggan melakukannya . A. adalah bersalah menyubahati B. supaya melakukan kesalahan tersebut.

Huraian 3
-Tidaklah perlu orang yang disubahati itu berupaya di sisi undang-undang melakukan sesuatu kesalahan, atau ia mempunyai niat atau pengetahuan yang salah yang sama dengan niat atau pengetahuan pensubahat itu, atau mempunyai apa-apa niat atau pengetahuan yang salah.

MISALAN

(a)
A., dengan suatu niat yang salah, menyubahati seorang kanak-kanak atau seorang gila supaya melakukan suatu perbuatan yang boleh menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh seseorang yang berupaya di sisi undang-undang melakukan sesuatu kesalahan, dan yang mempunyai niat yang sama seperti A. Di sini, sama ada perbuatan itu dilakukan atau tidak, A. adalah melakukan kesalahan menyubahati suatu kesalahan.

(b) A
., dengan niat hendak membunuh Z., menghasut B. seorang kanak-kanak yang belum baligh, supaya melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kematian Z. Oleh sebab subahat itu, B, melakukan perbuatan itu, dan dengan demikian itu menyebabkan kematian Z. Di sini, walaupun B. tidak berupaya di sisi undang-undang melakukan sesuatu kesalahan dan telah melakukan sesuatu kesalahan, A. boleh dihukum sama seperti seolah-olah B. berupaya di sisi undang-undang melakukan sesuatu kesalahan dan telah melakukan kesalahan membunuh orang, dan oleh sebab itu A. boleh dikenakan hukuman bunuh.

(c) A. menghasut B. supaya minum arak. B., oleh sebab akalnya tidak sempurna dan ianya tidak berupaya mengetahui keadaan perbuatan itu atau bahawa apa yang dilakukannya itu sama ada salah atau berlawanan dengan undang-undang, memimum arak itu oleh sebab hasutan A. B. tidaklah melakukan apa-apa kesalahan, tetapi A. melakukan kesalahan menyubahati kesalahan minum arak, dan boleh dikenakan hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

Huraian 4
-Oleh kerana menyubahati sesuatu kesalahan adalah suatu kesalahan, maka menyubahati subahat itu adalah juga suatu kesalahan.

MISALAN

A
. menghasut B. supaya menghasut C. minum arak. B., oleh yang demikian, menghasut C. supaya minum arak, dan C. melakukan kesalahan itu oleh sebab hasutan B., B. boleh dihukum kerana kesalahannya dengan hukuman bagi kesalahan meminum arak, dan oleh kerana A. telah menghasut B. melakukan kesalahan itu maka A. juga bolehlah dikenakan hukuman yang sama.

Huraian 5
-Tidaklah perlu bagi melakukan kesalahan subahat dengan jalan pakatjahat bahawa pensubahat itu menyertai kesalahan itu bersama orang yang melakukannya. Adalah memadai jika ia mengambil bahagian dalam pakatjahat itu dan kesalahan itu dilakukan pada menurut pakatjahat itu.

MISALAN

A
. menyertai B. dalam suatu rancangan untuk memalsukan satu perintah mahkamah supaya Z. menanggung satu akibat tertentu. Adalah dipersetujui bahawa A. hendaklah memalsukan perintah itu. B. kemudiannya menghuraikan rancangan itu kepada C. dengan menyebut bahawa seorang lain akan memalsukan perintah itu, tetapi tidak menyebut nama A. C. bersetuju mendapatkan meterai mahkamah, lalu mendapatkan meterai tersebut dan menyerahkannya kepada B. supaya digunakan secara yang telah dihuraikan itu. A. memalsukan perintah tersebut dengan menggunakan meterai itu; Z. menanggung akibatnya. Di sini walaupun A. dan C. tidak berpakatjahat bersama-sama, akan tetapi C. telah mengambil bahagian dalam pakatjahat itu yang pada menurutnya Z. telah menanggung akibat. Oleh sebab itu, C. telah melakukan kesalahan yang ditakrifkan dalam seksyen ini, dan bolehlah dikenakan hukuman bagi kesalahan tersebut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.