ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN IX - KESALAHAN



Seksyen 164. Buku Ugama yang salah.


(1) Sesiapa yang mencetak, menerbit, menjual, mempamirkan sama ada untuk dijual atau dipertunjukkan percuma dengan apa cara jua pun, menyebar atau membahagi-bahagikan apa-apa buku, majalah-majalah, dokumen-dokumen atau surat-surat yang mengandungi ajaran, fatwa atau penetapan yang bertentangan dengan mazhab-mazhab yang empat atau dengan mana-mana fatwa yang telah sah dikeluarkan dalam Negeri ini adalah menjadi satu kesalahan dan apabila sabit bolehlah dihukum dengan didenda tidak lebih daripada lima ratus ringgit atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya.

(2) Sesiapa ada dalam kawalannya, simpanannya atau padanya buku-buku, majalah-majalah, dokumen-dokumen atau surat-surat yang disebut dalam seksyen-kecil (1), jika didapati dalam keadaan yang boleh memberi sebab untuk mengesyaki bahawa buku-buku, majalah-majalah, dokumen-dokumen dan surat-surat itu adalah untuk disebarkan, dibahagi-bahagikan atau untuk dijual, maka barang-barang itu hendaklah dianggap sebagai di dalam kawalannya, simpanan atau padanya untuk disebarkan, dibahagi-bahagikan atau dijual.

(3) Dalam ketiadaan keterangan-keterangan yang lain yang bertentangan, jika terdapat lima buah atau lebih buku-buku atau majalah-majalah itu atau lima helai dengan kandungan yang serupa atau lebih dokumen-dokumen atau surat-surat itu, maka ini adalah mencukupi untuk memberi syak yang dikehendaki di bawah seksyen-kecil (2).

(4) Mahkamah hendaklah memerintahkan bagi semua buku-buku, majalah-majalah, dokumen-dokumen dan surat-surat bagi maksud seksyen-kecil (1) dan (2) dirampas dengan arahan supaya dimusnahkan atau dengan apa-apa arahan yang sesuai sama ada pendakwaan dibuat atau tidak ke atas sesiapa pun.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.