ENAKMEN 1 TAHUN 1984
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1979

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERNIKAHAN



Seksyen 46. Penyelenggaraan daftar Pusat dan Daerah.

(1) Ketua Pendaftar dan tiap-tiap Pendaftar hendaklah masing-masing menyelenggarakan suatu Daftar Pusat dan Daftar Daerah dan hendaklah seterusnya mencatitkan di dalamnya butir-butir yang ditetapkan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dihantar kepadanya di bawah seksyen-kecil (2) dan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dipohon di bawah seksyen-kecil (3) untuk didaftarkan.

(2) Tiap-tiap Mahkamah yang menentu dan merekodkan suatu perintah perceraian atau pembubaran atau yang membenar dan merekodkan talak atau apa-apa bentuk perceraian lain hendaklah seterusnya menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui benar kepada Ketua Pendaftar dan Pendaftar yang berkenaan untuk didaftarkan.

(3) Jika suatu pernikahan yang dinikahkan dalam Negeri ini telah dibubarkan atau dibatalkan dengan suatu perintah Mahkamah yang layak berbidangkuasa di luar Negeri ini, salah satu daripada pihak itu boleh memohon kepada Ketua Pendaftar atau Pendaftar yang berkenaan untuk didaftarkan perintah itu dan Ketua Pendaftar atau Pendaftar yang berkenaan hendaklah mendaftarkan perintah itu apabila berpuashati bahawa perintah itu adalah satu perintah yang patut diiktiraf sebagai sah bagi maksud Enakmen ini.

(4) Jika suatu lafaz talak di hadapan Mahkamah atau suatu perintah perceraian atau pembubaran, di mana telah diberi, telah membubarkan sesuatu pernikahan yang telah dinikahkan dalam Negeri ini dan yang telah didaftarkan di bawah peruntukan Enakmen ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuatkuasa hingga kini, Ketua Pendaftar atau Pendaftar yang berkenaan hendaklah, apabila mendaftarkan talak atau perintah itu; mengarahkan supaya catitan dalam Daftar yang berkenaan mengenai pernikahan itu ditandakan dengan "Dibubarkan" dan diberi nombor rujukan.

(5) Apabila mendaftarkan suatu talak perintah perceraian atau pembubaran pernikahan dan apabila dibayar kepadanya bayaran yang ditetapkan, Ketua Pendaftar atau Pendaftar hendaklah mencatitkan di dalam Sijil itu kenyataan talak atau perceraian atau pembubaran tersebut.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.