ENAKMEN 8 TAHUN 1991
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI MELAKA) 1991

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN.
BAB 7 - SAKSI



Seksyen 83. Siapa yang boleh memberi keterangan sebagai saksi.

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan peruntukan seksyen ini semua orang Islam adalah layak memberi shahadah atau bayyinah dengan syarat mereka hendaklah sempurna akal, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak menimbulkan tohmah.

(2) Seseorang yang bukan Islam layak memberi bayyinah ke atas seorang Islam jika keterangan itu boleh diterima menikut Hukum Syarak.
(3) Seseorang yang tidak bersifat adil yang mana keburukannya mengatasi kebaikannya atau sentiasa bercakap dusta atau rosak akhlaknya adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi shahadah.

(4) Apabila orang itu orang bukan Islam ia mestilah boleh dipercayai mengikut agamanya.

(5) Seorang kanak-kanak yang belum baligh atau seorang yang baligh tetapi terganggu atau tercacat akal fikirannya adalah layak memberi bayynah tetapi tidak layak memberi shahadah.

Huraian-Keterangan kanak-kanak dalam kes kecederaan yang dilakukan oleh setengah kanak-kanak, ke atas yang lain selama mana mereka tidak berselisih faham dan masih berada di tempat kejadian itu adalah layak diterima.

(6) Seorang yang dikenali dengan lemah ingatan atau pelupa atau salah ingatan adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi shahadah.

(7) Seorang yang diragui kerana hubungan baik yang mempunyai kepentingan dengan pihak yang berkaitan adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi shahadah bagi pihak itu.

(8) Seorang yang diragui kerana hubungan buruk dengan pihak yang berkaitan adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi shahadah terhadap pihak itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.