ENAKMEN 7 TAHUN 2002
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN IX - MEMELUK AGAMA ISLAM



Seksyen 99. Pendaftaran muallaf.

(1) Seseorang yang telah memeluk agama Islam boleh memohon kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk pendaftaran sebagai muallaf.

(2) Jika Pendaftar berpuas hati bahawa kehendak seksyen 95 telah dipenuhi berkenaan dengan pemohon itu, Pendaftar boleh mendaftarkan pemelukan agama Islam oleh pemohon itu dengan mencatatkan ke dalam Daftar Muallaf nama pemohon itu dan butir-butir lain sebagaimana yang dikehendaki dalam Daftar Muallaf.

(3) Pendaftar hendaklah juga menentukan tarikh pemelukan agama Islam oleh pemohon itu dan mencatatkan tarikh itu dalam Daftar Muallaf.

(4) Untuk memuaskan hatinya tentang hakikat dan tarikh pemelukan agama Islam oleh pemohon dan butir-butir lain yang hendak dicatatkan dalam Daftar Muallaf, Pendaftar boleh membuat apa-apa siasatan dan memanggil apa-apa keterangan sebagaimana yang difikirkannya perlu; tetapi subseksyen ini tidak boleh ditafsirkan sebagai menghalang Pendaftar daripada hanya bergantung pada kata-kata pemohon setakat yang berkenaan dengan hakikat dan tarikh pemelukan agama Islam itu.

(5) Jika Pendaftar tidak berpuas hati bahawa kehendak seksyen 95 telah dipenuhi berkenaan dengan pemohon itu, dia boleh membenarkan pemohon itu mengucap, di hadapannya atau di hadapan mana-mana pegawainya, dua kalimah Syahadah mengikut kehendak seksyen itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.