ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1991

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang berlainan-

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya tinggal dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

"darar syarie" ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah dan hartabenda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;

"duda" ertinya lelaki yang telah bercerai dengan isterinya atau isterinya telah mati dan tidak mempunyai isteri yang lain;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1963 bagi Negeri Perlis;

"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut seksyen 52;

"Hakim Syariah" ertinya seorang Hakim yang dilantik di bawah Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991 bagi Negeri Perlis;

"Hukum Syarak" ertinya Undang-undang Islam mengikut Al-Quran dan Sunnah Rasul Allah S.W.T.;

"harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

"janda" ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

"kariah", berhubungan dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan, yang sempadannya ditetapkan di bawah Seksyen 78 Enakmen Pentadbiran, dalam mana masjid itu terletak;

"Ketua Pendaftar" ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah Seksyen 28;

"Kitabiyah" ertinya seorang perempuan yang beragama Yahudi yang mengikut ajaran Taurah atau seorang perempuan yang beragama Nasrani yang mengikut ajaran Injil.

"Mahkamah" ertinya Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991 bagi Negeri Perlis;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Perlis yang ditubuhkan di bawah Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran;

"mas kahwin" ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri kerana perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang sah menurut Hukum Syarak;

"mutaah" ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

"pemberian" ertinya pemberian yang berupa wang tunai atau harta benda yang diberi oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan;

"Pendaftar" ertinya seorang Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah Seksyen 28, dan termasuk Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

"Pendakwa Syarie" ertinya Pendakwa Syarie yang dilantik di bawah Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1991 bagi Negeri Perlis;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak di hukum Had dalam Islam;

"rujuk" ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

"tak sahtaraf", berhubungan dengan seseorang anak ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

"talak rajii" ertinya perceraian dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis iddah;

"tarikh yang ditetapkan" ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah Seksyen 1 (2) untuk mula berkuatkuasanya Enakmen ini;

"Wali Raja" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Raja Pemerintah untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab yang sah atau dalam keadaan yang dibenarkan oleh Hukum Syarak.


(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada bentuk skrip bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam jadual itu.

(4) Raja dalam Mesyuarat boleh dari semasa kesemasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.