ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 55. Penyenggaraan Daftar Perceraian dan Pembatalan

(1) Tiap-tiap Pendaftar dan juga Ketua Pendaftar hendaklah masing-masing menyenggarakan suatu Daftar Perceraian dan Pembatalan dan hendaklah dengan serta-merta mencatatkan dalamnya butir-butir yang ditetapkan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dihantar kepadanya di bawah subseksyen (2) dan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dipohon di bawah subseksyen (3) untuk didaftarkan.

(2) Tiap-tiap Mahkamah yang memberikan dan merekodkan sesuatu perintah perceraian atau pembatalan atau yang membenarkan dan merekodkan mana-mana talaq atau apa-apa bentuk perceraian lain hendaklah dengan serta-merta menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(3) Jika sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan dalam Negeri Perak Darul Ridzuan dibubarkan atau dibatalkan dengan suatu perintah Mahkamah yang mempunyai bidang kausa wibawa di luar Negeri Perak Darul Ridzuan, salah satu daripada pihak-pihak itu boleh memohon kepada Pendaftar yang berkenaan dan Ketua Pendaftar untuk mendaftarkan perintah itu, dan Pendaftar yang berkenaan itu dan Ketua Pendaftar hendaklah mendaftarkan perintah itu apabila berpuas hati bahawa perintah itu adalah suatu perintah yang patut diiktiraf sebagai sah bagi maksud-maksud undang-undang dalam Negeri Perak Darul Ridzuan.

(4) Jika sesuatu lafaz talaq di hadapan Mahkamah atau sesuatu perintah perceraian atau pembatalan, di mana jua telah diberikan, telah membubarkan suatu perkahwinan yang telah diakadnikahkan dalam Negeri Perak Darul Ridzuan dan telah didaftarkan di bawah Enakmen ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa sebelum Enakmen ini, Pendaftar yang berkenaan dan Ketua Pendaftar hendaklah, apabila mendaftarkan talaq atau perintah itu, menyebabkan catatan mengenai perkahwinan itu dalam Daftar Perkahwinan ditandakan dengan perkataan "Dibubarkan" dan dengan rujukan mengenai perbicaraan yang dalamnya talaq itu telah dilafazkan atau perintah itu telah dibuat.

(5) Apabila mendaftarkan sesuatu talaq atau perintah perceraian atau pembatalan itu dan apabila dibayar kepadanya fi yang ditetapkan, Ketua Pendaftar hendaklah mengeluarkan perakuan perceraian atau pembatalan dalam borang yang ditetapkan kepada kedua-dua pihak itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.