ENAKMEN 3 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991

BAHAGIAN V - KEWANGAN



Seksyen 72. Modal wakaf dan nazar am.

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan subseksyen (2) dan (3), harta dan aset modal yang terlibat dengan sesuatu wakaf atau nazar am yang sah tidak boleh menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Khairat Am tetapi hendaklah digunakan menurut wakaf dan nazar am itu dan dikendalikan sebagai kumpulan wang berasingan.

(2) Jika disebabkan oleh tamat tempoh atau perubahan hal-keadaan adalah tidak mungkin lagi dikuatkuasakan secara berfaedah wakaf atau nazar am itu, maka Majlis hendaklah menyediakan suatu skim mengenai penggunaan harta dan aset yang terlibat itu mengikut cara yang seberapa hampir yang boleh dengan terma-terma wakaf atau nazar am itu:

Dengan syarat bahawa Majlis boleh dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengarahkan supaya harta dan aset itu dimasukkan ke dalam dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Khairat Am.

(3) Jika terma sesuatu wakaf atau nazar am tidak menentukan cara penggunaan harta dan aset yang terlibat itu atau jika tidak dapat ditentukan cara mana harta dan aset itu patut digunakan, Majlis boleh mengarahkan supaya harta atau aset modal itu dimasukkan ke dalam dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Khairat Am.

(4) Semua suratcara yang mewujudkan, membuktikan atau melibatkan mana-mana wakaf atau nazar am beserta dengan dokumen hakmilik atau sekuriti-sekuriti lain berkaitan dengannya hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.