ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN MAHKAMAH SYARIAH 2004

BAHAGIAN II - MAHKAMAH SYARIAH
Penubuhan dan Bidang Kuasa



Seksyen 27. Tindakan bersaling.

(1) Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana Negeri di Malaysia mengeluarkan waran atau saman atau notis, sama ada mal atau jenayah, mengikut mana-mana yang berkenaan, mengenai sesuatu perkara di dalam bidang kuasanya di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa dalam Negeri itu, untuk dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada seseorang yang berada atau dipercayai berada dalam Negeri Sabah, maka Ketua Hakim Syar'ie Negeri atau Hakim Syar'ie boleh mengendorskan waran atau saman atau notis itu dan boleh dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada orang itu seolah-olah waran atau saman atau notis itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dalam Negeri Sabah itu mengikut peruntukan Enakmen ini.

(2) Jika Mahkamah Syariah dalam Negeri Sabah mengeluarkan waran yang memberikan kuasa untuk menangkap mana-mana orang, atau saman atau notis yang memanggil mana-mana orang supaya hadir di Mahkamah Syariah, dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam mana-mana Negeri lain di Malaysia dan waran atau saman atau notis itu telah dilaksanakan atau disampaikan kepada orang itu mengikut mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa dalam Negeri itu, maka waran atau saman atau notis itu hendaklah, bagi maksud Enakmen ini, disifatkan telah dilaksanakan atau disampaikan dengan sempurna seolah-olah pelaksanaan atau penyampaian itu telah dilaksanakan atau disempurnakan dalam Negeri Sabah.

(3) Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana Negeri di Malaysia membuat satu perintah atau penghakiman di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa dalam Negeri itu terhadap seseorang dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam Negeri Sabah, maka Ketua Hakim Syar'ie atau Hakim Syar'ie, jika dia berpuas hati bahawa perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan atau dibuat dengan sempurna oleh suatu Mahkamah yang kompeten dalam mana-mana Negeri di Malaysia, boleh mengendorskan perintah atau penghakiman itu dan perintah atau penghakiman itu boleh dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada orang itu, seolah-olah perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan atau dibuat dengan sahnya oleh Mahkamah Syariah dalam Negeri Sabah mengikut peruntukan Enakmen ini.

(4) Waran, saman, notis, perintah atau apa-apa proses lain Mahkamah yang dikeluarkan atau dibuat oleh Mahkamah Syariah di bawah seksyen ini hendaklah mengandungi meterai dan tandatangan Ketua Hakim Syar'ie Negeri atau Hakim Syar'ie atau seseorang pegawai yang diberi kuasa oleh Mahkamah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.