ORDINAN 7 TAHUN 1991
ORDINAN ACARA MAL SYARIAH 1991

BAHAGIAN XIX - PERLAKSANAAN



Seksyen 155. Penjara.

(1) Di dalam seksyen ini, "penghutang penghakiman" termasuklah seorang garnisi yang terhadapnya suatu perintah telah dibuat melalui saman garnismen.

(2) Jika seorang penghutang penghakiman didapati bersalah kerana menghina Mahkamah di bawah peruntukan Bahagian ini atau dengan sengaja enggan atau cuai mematuhi mana-mana perintah Mahkamah yang mengarahkannya melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan, pemiutang penghakiman boleh menyerahkan kepada Pendaftar dan Pendaftar boleh memeterai, menandatangani dan mengeluarkan suatu notis penghakiman dalam borang yang ditetapkan yang mengarahkan penghutang penghakiman supaya menunjukkan sebab-sebab mengapa dia tidak patut dipenjarakan. Saman yang demikian hendaklah menyatakan alasan-alasan permohonan itu dan hendaklah diserahkan ke atas diri penghutang penghakiman sekurang-kurangnya dua hari genap sebelum prosiding itu. Pendaftar boleh menurut budi bicaranya menghendaki alasan-alasan permohonan itu dibuktikan dengan afidavit.

(3) Mahkamah semasa mendengar saman boleh mendapat keterangan-keterangan yang ia fikir patut dan boleh memerintah penghutang penghakiman ke penjara sivil atau boleh mengenakannya syarat-syarat yang tertentu atau menerima darinya akujanji yang Mahkamah fikirkan patut.

(4) Hukuman penjara di bawah seksyen ini tidak mempunyai kesan sebagai menyelesaikan hutang penghakiman atau mana-mana bahagiannya.

(5) Seseorang yang telah dipenjarakan di bawah Bahagian ini boleh memohon untuk dibebaskan setelah dibuktikan bahawa dia telah mematuhi perintah Mahkamah itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.