ENAKMEN 5 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Taksiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“anak dara” ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

“baligh” ertinya umur baligh mengikut Hukum Syarak;

“balu” ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

“bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

“darar syarie” ertinya bahaya, mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak, yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda;

“duda” ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004;

“fasakh” ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut seksyen 53;

“Hakim Mahkamah Rayuan Syariah” ertinya seseorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dilantik di bawah subseksyen 57(1), Enakmen Pentadbiran;

“Hakim Syarie” atau “Hakim” ertinya seseorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah subseksyen 58(1) atau subseksyen 59(1) Enakmen Pentadbiran;

“harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali;

“iqrar” ertinya suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa ia mempunyai kewajipan atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak;

“janda” ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

“kariah masjid”, berhubungan dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan, yang sempadannya ditetapkan di bawah subseksyen 98(3) Enakmen Pentadbiran;

“Ketua Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;

“Ketua Pendakwa Syarie” ertinya Ketua Pendakwa Syarie yang dilantik di bawah subseksyen 78(1) Enakmen Pentadbiran;

“Kitabiyah” ertinya—
“Mahkamah Syariah” atau “Mahkamah” ertinya Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 55(1) atau 55(2) Enakmen Pentadbiran;

“Mahkamah Rayuan Syariah” ertinya Mahkamah Rayuan Syariah yang ditubuhkan di bawah subseksyen 55(3) Enakmen Pentadbiran;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran;

“mas kahwin” ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang;

“mut’ah” ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan;

“nasab” ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

“Peguam Syarie” ertinya orang yang diterima menjadi Peguam Syarie di bawah seksyen 80 Enakmen Pentadbiran;

“pemberian” ertinya pemberian sama ada dalam bentuk wang atau benda-benda yang diberikan oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan;

“Pendaftar” ertinya Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28, dan termasuk Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

“persetubuhan syubhah” ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

“ruju’” ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

“sesusuan” ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

“ta’liq” ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen ini;

“tak sahtaraf”, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

“tarikh yang ditetapkan” ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 untuk mula berkuatkuasanya Enakmen ini;

“thayyib” ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;

“wali Mujbir” ertinya bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas;

“wali Raja” ertinya wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, dalam hal Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal mana-mana Negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab;

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967[Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada skrip bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Yang di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.