ENAKMEN 2 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM 1992
BAHAGIAN IV - MAHKAMAH SYARIAH
Seksyen 44. Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.
(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa di seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Syarie.
(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(a)
dalam bidangkuasa jenayah, membicarakan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1984 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap hukum Islam yang pada masa ini berkuatkuasa, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan baginya atau membuat apa-apa perintah yang dibenarkan;
(b)
dalam bidangkuasa mal, mendengar dan memutuskan atau membuat apa-apa perintah berkenaan semua tindakan dan prosiding yang berkaitan Agama Islam atau 'Adat Melayu Perak dan termasuklah-
(i) pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan (fasakh), atau perpisahan (faraq);
(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan kepada harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
(iii) nafkah orang tanggungan, kesahtarafan atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) kanak-kanak;
(iv) pembahagian atau tuntutan kepada harta sepencarian;
(v) wasiat atau pemberian seseorang dalam keadaan maradhul maut;
(vi) hibah;
(vii) wakaf dan nazar;
(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;
(ix) menentukan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati dan bahagian-bahagian orang itu masing-masing berhak; dan
(x) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidangkuasa diberi oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.