ENAKMEN 2 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH 1996

BAHAGIAN IV - PIHAK-PIHAK
BAB 1 - AM



Seksyen 23. Penurunan kepentingan.

(1) Dalam hal mana-mana serahhak, pengujudan, penukaran, perpindahan atau penurunan kepentingan, estet, hakmilik atau tanggungan mana-mana pihak di antara permulaan mana-mana prosiding dan penghakiman di dalamnya, orang yang kepadanya kepentingan, estet, hakmilik, atau tanggungan telah diberi atau diturunkan boleh memohon supaya dia ditambahkan atau dijadikan ganti sebagai satu pihak, dan plaintif boleh dengan cara yang sama memohon untuk ditambah atau digantikan sedemikian, jika pihak berkenaan adalah defendan.

(2) Notis mana-mana permohonan di bawah subseksyen (1) hendaklah disampaikan kepada semua pihak.

(3) Apabila sesuatu permohonan patut dibuat di bawah subseksyen (1) dan tidak dibuat dalam tempoh masa yang munasabah, Mahkamah boleh atas usulnya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak memerintahkan pihak atau orang berkenaan supaya membuat permohonan dalam suatu masa tertentu, dan jika berlaku keingkaran boleh membatal atau menolak prosiding itu atau memerintahkan supaya pihak atau orang berkenaan itu ditegahkan daripada membela, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(4) Apabila mana-mana perkara yang disebut di dalam subseksyen (1) telah berlaku selepas penghakiman dan wang berada di dalam Mahkamah bagi kepentingan prosiding, Mahkamah boleh memerintahkan supaya permohonan untuk suatu perintah bagi pembayaran keluar disampaikan kepada mana-mana orang.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.