ENAKMEN 16 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI JOHOR) 2003

BAHAGIAN III - PERLANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA, JAWATAN KUASA FATWA DAN FATWA YANG BERHUBUNGAN DENGAN KEPENTINGAN KEBANGSAAN



Fasal 48. Tatacara pembuatan fatwa.

(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat fatwa, Mufti boleh menyebabkan supaya kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.

(2) Apabila Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.

(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, mengemukakan fatwa yang disediakan itu kepada Majlis.

(4) Majlis boleh membuat syor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.

(5) Syor yang dibuat di bawah subseksyen (4) hendaklah disertakan dengan memorandum penjelasan dan ulasan daripada Majlis jika Majlis berpendapat penjelasan dan ulasan itu perIu.

(6) Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan, Majlis hendaklah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan selepas itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

(8) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan atau disampaikan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan jawi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan rumi boleh juga disiarkan dan segala Fatwa yang dikeluarkan adalah muktamad.

(9) Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (6).

(10) Walau apa pun yang diperuntukkan oleh subseksyen (3), (4), (6) dan (9), jika perkara yang dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa untuk fatwa tidak menyentuh masalah umum dan kepentingan negara, atau telah diketahui umum akan hukum hakamnya, Mufti bolehlah mengeluarkan fatwa dan memaklumkan fatwa tersebut terus kepada orang yang memohon fatwa itu dan fatwa yang dimaklumkan sedemikian kepada orang yang memohon itu tidaklah perlu diwartakan tetapi adalah mengikat untuk dipatuhi.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.