Tr. P.U. 4/2002
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU 1423H/2002M

BAHAGIAN I



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini melainkan konteksnya menghendaki makna yang lain -

"anak'" termasuklah cucu dan keturunan di bawahnya atau selepasnya;

"diyat" maknanya suatu jumlah wang atau harta yang dikenakan bayarannya sebagai pampasan kerana kematian atau kehilangan akal atau kecederaan anggota yang sempurna atau kecederaan anggota yang berpasangan atau kehilangan fungsi anggota-anggota tersebut yang telah dilakukan ke atas seorang mangsa jenayah. Jumlah satu diyat ialah seratus ekor unta atau nilai harganya atau suatu jumlah yang akan ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan dari semasa ke semasa mengikut Hukum Syarak;

"Hakim" maknanya Hakim yang dilantik di bawah Bahagian XII;

"irsy" maknanya suatu jumlah wang atau harta atau sebahagian daripada diyat yang dikenakan bayarannya sebagai pampasan kerana kecederaan (jurh) yang dilakukan ke atas seorang mangsa jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual II, III dan IV;

"Jawatankuasa Fatwa" maknanya Jawatankuasa Fatwa yang ditubuhkan di bawah seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam(Terengganu) 1422H/2001M [En. Tr 2/2001];

"Mahkamah" maknanya Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XII;

"penjara" termasuklah perintah menghadkan seseorang pesalah tinggal dalam suatu kawasan atau daerah dalam negeri;

"mohsan" dan "ghairu mohsan" maknanya adalah sama seperti yang ditakrifkan dalam subseksyen 12(2);

"mukallaf" maknanya seseorang sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya;

"nisab" maknanya suatu jumlah wang yang bersamaan dengan harga emas semasa seberat 4.45 gram atau suatu jumlah wang yang akan ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan dari semasa ke semasa mengikut Hukum Syarak;

"qisas" maknanya hukuman balas balik dan persamaan yang digunakan untuk menghukum kesalahan melakukan kematian atau cedera jasmani ke atas seseorang;

"Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri" maknanya Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang ditubuhkan di bawah Perkara LVI Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terangganu (Bahagian Pertama);

"wali" maknanya waris mangsa jenayah yang berhak memaafkan pesalah yang melakukan kesalahan ke atas mangsa jenayah itu;

(2) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau tafsiran perkataan atau ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual I, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual I.

(3) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing dalam Akta-Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(4) Melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain apa-apa rujukan dalam Enakmen ini mengenai sesuatu bahagian atau seksyen atau subseksyen atau Jadual tertentu adalah rujukan mengenai sesuatu bahagian atau seksyen atau subseksyen atau Jadual tertentu dalam Enakmen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.