ENAKMEN 12 TAHUN 2002
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 48. Timbang tara oleh Hakam.

(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbang tara atau Hakam untuk bertindak masing-masing bagi pihak suami dan isteri itu.

(2) Dalam melantik Hakam di bawah subseksyen (1), Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberikan keutamaan kepada saudara-saudara terdekat pihak-pihak itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(3) Mahkamah boleh memberikan arahan-arahan kepada Hakam tentang hal menjalankan penimbang taraan dan mereka hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu dan Hukum Syarak.

(4) Jika Hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak berpuas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik Hakam yang lain bagi menggantikannya.

(5) Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan oleh Mahkamah, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar suatu salinan rekod itu yang diperakui itu kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(6) Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan perceraian kerana apa-apa sebab, Mahkamah hendaklah melantik Hakam yang lain dan hendaklah memberikan kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan perintah itu dan menghantar suatu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(7) Melainkan jika dia ialah anggota keluarga terdekat pihak-pihak itu, maka tiada seorang pun atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.