ENAKMEN 2 TAHUN 2001
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM (TERENGGANU)

BAHAGIAN III - PELANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA DAN JAWATANKUASA FATWA



Seksyen 50. Tatacara pembuatan fatwa.

(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat fatwa, Mufti boleh menyebabkan supaya kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.

(2) Apabila Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.

(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, mengemukakan fatwa yang disediakan itu kepada Majlis.

(4) Majlis boleh, selepas menimbang teliti fatwa itu, membuat syor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapatkan perkenannya bagi pewartaan fatwa itu.

(5) Syor yang dibuat di bawah subseksyen (4) hendaklah disertakan dengan memorandum penjelasan dan ulasan daripada Majlis jika Majlis berpendapat penjelasan dan ulasan itu perlu.

(6) Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan, Majlis hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan selepas itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam
Warta.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam
Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

(8) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan jawi dan rumi.

(9) Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam
Warta menurut subseksyen (6).




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.