ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN XII - ACARA AM



Seksyen 238. Penyampaian.


(1) Surat perintah Mahkamah hendaklah disampaikan oleh seorang pegawai Mahkamah atau oleh mana-mana orang lain yang telah dengan nyatanya diberi kuasa oleh Mahkamah itu untuk menyampaikannya dan boleh disampaikan di mana-mana tempat dalam Negeri ini dan pada bila-bila masa jua pun.

(2) Dalam pembicaraan-pembicaraan jenayah penyampaian itu hendaklah dibuat oleh orang yang menyampaikannya itu dengan sendirinya.

(3) Dalam pembicaraan-pembicaraan mal penyampaian itu hendaklah dibuat oleh orang yang menyampaikan itu dengan sendirinya, melainkan dengan sebab-sebab yang khas Mahkamah itu bolehlah memerintahkan baginya dibuat dengan penyampaian ganti. Penyampaian ganti ini boleh disempurnakan dengan cara menyampaikannya kepada wakil si penerima atau sesiapa yang harus akan menyampaikannya kepadanya misalnya peguamnya atau isterinya. Penyampaian itu boleh juga dibuat dengan meninggalkan dokumen-dokumen itu di hadapannya jika ianya enggan menerima dengan diberitahu akan halnya atau ditinggalkan di alamat yang akhir sebagaimana yang diketahui. Penyampaian ganti ini hendaklah sama kuat kesannya dengan penyampaian sendiri.

(4) Penyampaian sendiri itu hendaklah dilaksanakan dengan menyerahkan kepada orang yang hendak disampaikan itu salinan asal dokumen yang hendak disampaikan atau satu salinannya yang bertandatangan dan bercop mohor.

(5) Seseorang yang telah menyampaikan apa-apa dokumen hendaklah dengan serta merta memasukkan ke dalam Mahkamah satu surat peringatan (memorandum) menyatakan tempat, waktu dan cara penyampaian itu.

(6) Penyampaian itu hendaklah dibuktikan apabila mustahak dengan keterangan lisan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.