ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN II - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAI MAHKAMAH-MAHKAMAH JENAYAH
BAB III - DARIHAL MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA



Seksyen 12. Menggeledah tempat yang dimasuki oleh orang yang hendak ditangkap.

(1) Jika mana-mana orang yang bertindak di bawah satu waran tangkap, atau jika mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis yang berkuasa menangkap, mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mana-mana orang yang hendak ditangkap itu telah masuk ke dalam atau berada di dalam mana-mana tempat, orang yang tinggal di dalam atau yang menjaga tempat itu hendaklah, atas permintaan orang yang menjalankan waran itu atau Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis itu, membenarkannya masuk dengan bebas ke dalam tempat itu dan memberikan segala kemudahan yang munasabah untuk penggeledahan di dalamnya.

(2) Jika kemasukan ke dalam tempat itu tidak boleh didapati, menurut peruntukan subseksyen (1), adalah sah bagi orang yang bertindak di bawah suatu waran dan dalam mana-mana kes pun dan bagi Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis dalam sesuatu kes di mana waran boleh dikeluarkan tetapi tidak didapatinya supaya tidak memberi peluang kepada orang itu melarikan diri, untuk masuk ke dalam tempat itu dan menggeledah tempat itu, dan untuk membolehkannya masuk ke dalam tempat itu ia boleh memecahkan mana-mana pintu luar atau dalam atau tingkap di mana-mana tempat sama ada dipunyai oleh orang yang hendak ditangkap itu atau oleh orang lain, jika selepas memberitahu kuasa dan tujuannya serta meminta supaya dibenarkan ia masuk, telah tidak dibenarkan masuk.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.