ENAKMEN 2 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH 1996

BAHAGIAN XVIII - PENGUATKUASAAN DAN PELAKSANAAN
BAB 4 - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN KHAS SAMAN MADIN PENGHAKIMAN



Seksyen 176. Permohonan bagi mendapatkan saman madin penghakiman.

(1) Jika suatu penghakiman Mahkamah adalah bagi mendapatkan kembali atau pembayaran wang, dain penghakiman yang berhak menguatkuasakan penghakiman itu boleh menghendaki madin penghakiman yang bertanggungan di bawah penghakiman itu hadir di Mahkamah untuk diperiksasecara lisan tentang keupayaannya membayar atau menyelesaikan hutang penghakiman itu dan bagi mendapatkan harta untuk digunakan bagi penyelesaian hutang tersebut.

(2) Suatu permohonan menghendaki kehadiran madin penghakiman di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat dengan memfailkan permohonan dalam Borang MS 43 yang ditandatangani oleh pemohon atau peguam syarienya.

(3) Jika suatu penghakiman telah diberikan terhadap dua orang atau lebih, dain penghakiman boleh menghendaki suatu saman madin penghakiman dikeluarkan terhadap setiap atau mana-mana orang yang bertanggungan di bawah penghakiman itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.