ENAKMEN 6 TAHUN 1996
ENAKMEN KETERANGAN SYARIAH 1996
BAHAGIAN 3 - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 8 - PEMERIKSAAN SAKSI
Seksyen 102. Soalan tidak boleh ditanya tanpa alasan-alasan yang munasabah.
Tiada apa-apa soalan seperti yang tersebut dalam seksyen 101 boleh ditanya melainkan jika orang yang bertanya itu mempunyai alasan-alasan yang munasabah bagi memikirkan bahawa tohmahan yang dibayangkan oleh soalan itu betul-betul berasas.
MISALAN
(a) Seorang Peguam Syarie diberitahu oleh seorang Peguam Syarie lain atau suatu sumber yang boleh dipercayai bahawa seorang saksi penting adalah seorang penjudi profesional. Ini adalah suatu alasan yang munasabah bagi menanya saksi itu sama ada dia seorang penjudi profesional.
(b)
Seorang Peguam Syarie diberitahu oleh seseorang di dalam mahkamah bahawa seorang saksi penting adalah seorang penjudi profesional. Apabila ditanya oleh Peguam Syarie itu, pemberi maklumat itu memberikan sebab-sebab yang memuaskan bagi pernyataan itu. Ini adalah suatu alasan yang munasabah bagi menanya saksi itu sama ada dia seorang penjudi profesional.
(c) Seorang saksi yang tidak diketahui apa-apa pun mengenainya ditanya secara rambang sama ada dia seorang penjudi profesional. Di sini tidak ada apa-apa alasan munasabah bagi soalan itu.
(d) Seorang saksi yang tiada pun diketahui apa-apa pun mengenainya apabila disoal mengenai cara hidup dan mata pencariannya, memberi jawapan yang tidak memuaskan. Ini boleh jadi suatu alasan yang munasabah bagi menanya saksi itu sama ada dia seorang penjudi profesional.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.