ENAKMEN 1 TAHUN 1984
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1979

BAHAGIAN II - PERNIKAHAN



Seksyen 17. Poligami.

(1) Tiada seorang lelaki boleh bernikah dengan seorang lain di mana-mana tempat sama ada di dalam atau di luar Negeri dalam masa ia masih beristerikan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada kecuali dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran secara bertulis dari Mahkamah dan jika ia bernikah sedemikian tanpa kebenaran tersebut, pernikahan itu tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini.

(2) Permohonan untuk kebenaran itu hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut borang yang ditetapkan bersama dengan bayaran yang ditetapkan, dan disertai dengan suatu ikrar menyatakan alasan-alasan mengapa pernikahan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir kewajipan dan tanggungan kewangannya yang dapat ditentukan dan bilangan orang-orang tanggungannya yang termasuk mereka yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan pernikahan yang dicadangkan itu.


(3) (i) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah boleh memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar dan Mahkamah boleh membenarkan permohonan itu jika berpuashati bahawa pernikahan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu dalam masa pemohon itu masih beristerikan isterinya atau isteri-isterinya yang sedia ada.
(4) Perbicaraan di bawah seksyen-kecil (3) hendaklah dijalankan di dalam Mahkamah tertutup.

(5) Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah boleh, mengikut aturcara yang ditetapkan dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1979, merayu terhadap keputusan Mahkamah itu kepada Mahkamah Rayuan dan keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah muktamat dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana Mahkamah lain.

(6) Seorang yang bernikah bersalahan dengan seksyen-kecil (1) hendaklah membayar dengan serta merta semua jumlah maskahwin dan mengembalikan semua pemberian yang kena dikembalikan kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, dan jumlah itu, jika tidak dibayar sedemikian, hendaklah disifatkan sebagai hutangnya kepada isteri atau isteri-isterinya.

(7) Aturcara bagi pernikahan dan pendaftaran suatu pernikahan di bawah seksyen ini adalah sama dengan aturcara yang dipakai bagi suatu pernikahan yang dinikah dan didaftarkan dalam Negeri di bawah Enakmen ini.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.