ENAKMEN 13 TAHUN 2003
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB 4 - PERUNTUKAN KHAS YANG BERHUBUNGAN DENGAN KETERANGAN



Seksyen 196. Tatacara apabila orang yang dapat memberikan keterangan material sakit tenat

(1) Apabila ternyata kepada seseorang Hakim bahawa mana-mana orang yang dapat memberikan keterangan material sama ada bagi pihak pendakwa atau pihak pembela berhubung dengan sesuatu kesalahan boleh tangkap sakit tenat sehinggakan pengambilan keterangannya mengikut perjalanan biasa undang-undang tidak boleh dilaksanakan, Hakim itu boleh mengambil deposisi orang itu dengan syarat apa-apa notis yang munasabah sebagaimana yang mungkin dalam kes itu telah diberikan kepada Pendakwa dan tertuduh tentang cadangan mengambil deposisi itu dan tentang masa dan tempat di mana Hakim itu bercadang mengambilnya.

(2) Jika tertuduh berada dalam jagaan, seorang Hakim boleh memerintahkan pegawai yang menjaga penjara itu supaya menghantar tertuduh ke tempat itu pada waktu yang telah diberitahukan dan pegawai itu hendaklah menghantarnya dengan sewajarnya.

(3) Apabila dibuktikan pada perbicaraan tertuduh atas mana-mana kesalahan yang berhubungan dengan deposisi itu bahawa deponennya telah mati atau bahawa kerana apa-apa sebab yang mencukupi kehadirannya tidak dapat diperoleh, deposisi itu bolehlah dibacakan sama ada bagi atau terhadap tertuduh, walaupun dia tidak hadir semasa deposisi itu diambil, jika deposisi itu diperakui di bawah tanda tangan Hakim yang mengambilnya dan yang sebaliknya tidak dibuktikan, atau jika ditunjukkan melalui keterangan ekstrinsik bahawa deponen memang pada masa pemeriksaannya sakit tenat sebagaimana yang disebut dalam subseksyen (1) dan bahawa deposisi itu telah diambil dengan sewajarnya di tempat dan pada masa yang diberitahukan itu dan bahawa notis yang munasabah tentang niat untuk mengambilnya telah diberikan kepada orang yang terhadapnya deposisi itu dikemukakan sebagai keterangan, supaya dia atau Peguam Syarienya dapat hadir dan mendapat, jika dia memilih untuk hadir, peluang penuh untuk pemeriksaan balas.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.