ENAKMEN 6 TAHUN 1996
ENAKMEN KETERANGAN SYARIAH 1996

BAHAGIAN 2 - PEMBUKTIAN
BAB 5 - KETERANGAN DOKUMENTAR



Seksyen 56. Pembuktian dokumen.

(1) Jika seseorang yang menyempurnakan sesuatu dokumen menafikan tulisan pada atau tanggungan yang diwujudkan oleh dokumen itu, maka tulisan dan penyempurnaan dokumen tersebut hendaklah dibuktikan oleh sekurang-kurangnya dua orang saksi kepada dokumen itu.

(2) Jika saksi-saksi kepada dokumen itu tidak boleh didapati, tulisan dan penyempurnaan dokumen itu hendaklah dibuktikan oleh dua orang saksi yang boleh mengenal pasti tulisan dan tandatangan orang yang menulis dan menyempurnakan dokumen itu.

(3) Jika saksi kepada dokumen itu atau orang yang tersebut dalam subseksyen (2) boleh mengenal pasti tulisan dan tandatangan itu, orang yang menyempurnakan dokumen tersebut hendaklah terikat dengan apa-apa tanggungan yang diwujudkan dalam dokumen itu.

(4) Jika saksi kepada dokumen itu atau orang yang tersebut dalam subseksyen (2) tidak mengenal pasti tulisan dan tandatangan pada dokumen itu sepenuhnya, maka tulisan dan tandatangan pada dokumen itu hendaklah disahkan oleh sekurang-kurangnya dua orang pakar.

(5) Jika tulisan dan tandatangan pada dokumen itu telah disahkan oleh pakar, maka orang yang menyempurnakan dokumen itu hendaklah terikat dengan apa-apa tanggungan yang diwujudkan dalam dokumen itu.

(6) Jika sesuatu dokumen tidak boleh dibuktikan dengan mana-mana cara yang disebut terdahulu, orang yang menafikan tulisan dan penyempurnaan dokumen itu hendaklah, apabila diminta oleh orang yang mengatakan bahawa orang disebut terdahulu, adalah orang yang menyempurnakan, mengangkat sumpah, dan jika ia enggan berbuat demikian, orang yang mengatakan itu boleh mengangkat sumpah dan berikutannya membuktikan tuntutannya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.