ORDINAN 43 TAHUN 2001
ORDINAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM, 2001

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Ordinan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain -

"baligh" ertinya umur baligh mengikut Undang-Undang Islam;

"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

"darar syarie" ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Undang-Undang Islam;

"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Undang-Undang Islam mengikut seksyen 51;

"Hakim" atau "Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah seksyen 4, 5, 6 atau 8 Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42];

"harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Undang-Undang Islam;

"'iqrar" ertinya suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai kewajipan atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak;

"janda" ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

"kariah masjid", berhubungan dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan yang sempadannya ditetapkan di bawah seksyen 60 Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001 [Bab 41];

"Ketua Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie yang dilantik di bawah seksyen 4 Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42];

"Ketua Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 26 (2);

"Ketua Pendakwa Syarie" ertinya pegawai yang dilantik di bawah seksyen 26 Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42];

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan yang dibentuk di bawah seksyen 3 Ordinan Mahkamah syariah, 2001 [Bab 42];

"majikan" ertinya seseorang yang, selaku prinsipal dan bukan selaku pekhidmat awam atau ejen, pendapatan-tenaga terkena dibayar olehnya kepada seseorang pekerja yang bekerja dengannya;

"Majlis" ertinya Majlis Islam Sarawak yang ditubuhkan di bawah seksyen 3 Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001 [Bab 41];

"mas kahwin" ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Undang-Undang Islam oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang, menurut Undang-Undang Islam, dapat dinilai dengan wang;

"mut 'ah" ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Undang-Undang Islam kepada isteri yang diceraikan;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

"Negeri" ertinya Negeri Sarawak;

"Peguam Syarie" ertinya orang yang diterima masuk di bawah seksyen 28 Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42] sebagai Peguam Syarie;

"pemberian" ertinya pemberian sama ada dalam bentuk wang atau benda-benda yang diberikan oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan;

"Pendaftar" ertinya Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 26, dan termasuklah Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

"pendapatan-tenaga", berhubungan dengan seseorang pihak kena tuntut, ertinya apa-apa jumlah wang yang kena dibayar kepadanya -

"perintah tahanan pendapatan-tenaga" ertinya sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen 81;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuklah mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

"pihak kena tuntut", berhubungan dengan sesuatu perintah nafkah atau sesuatu perintah tahanan pendapatan-tenaga yang berkaitan, ertinya orang yang kena membuat bayaran menurut perintah nafkah atau perintah tahanan pendapatan tenaga itu;

"ruju'" ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

"ta'liq" ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Undang-Undang Islam dan peruntukan Ordinan ini;

"tak sah taraf", berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

"tarikh ditetapkan" ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 (2) untuk mula berkuatkuasanya Ordinan ini;

"thayyib" ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;

"Undang-Undang Islam" ertinya Undang-Undang Islam mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanbali atau Hanafi sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis;

"wali Hakim" ertinya wali yang dilantik dan ditauliahkan oleh Yang di-Pertua Negeri di bawah seksyen 6 (3) untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab;

"wali Mujbir" ertinya bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Ordinan ini dan tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Ordinan Tafsiran [Bab 1 (Edisi 1958)], Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001 [Bab 41], Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42] atau mana-mana undang-undang bertulis lain hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing oleh Ordinan-Ordinan atau undang-undang bertulis itu setakat yang ertinya itu tidak bercanggah dengan Undang-Undang Islam.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Ordinan ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada bentuk skrip bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Yang di-Pertua Negeri boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.