ENAKMEN 7 TAHUN 2004
ENAKMEN FATWA

BAHAGIAN II - PELANTIKAN MUFTI DAN FUNGSI MUFTI, KUASA MAJLIS FATWA NEGERI DAN FATWA YANG BERHUBUNG DENGAN KEPENTINGAN NASIONAL



Seksyen 11. Fatwa yang ada hubungan dengan kepentingan nasional

(1) Walau apapun kuasa Majlis Fatwa Negeri di bawah seksyen 7, apabila Majlis Fatwa Negeri mendapati bahawa suatu fatwa yang dicadangkan dibuat adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional, Mufti atau Majlis Fatwa Negeri hendaklah menangguhkan perbincangannya dan membuat kajian lanjut sama ada kepentingan nasional itu selaras dengan "Maslahah" menurut Hukum Syarak atau sebaliknya, dan memaklumkan perkara yang sama kepada Majlis.

(2) Selepas menimbang teliti perkara itu, Majlis membuat syor kepada Yang di-Pertua Negeri, untuk mendapat perkenannya agar fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan melalui Majlis Raja-Raja.

(3) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), sesuatu fatwa adalah dianggap berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional jika persoalan itu ada berhubung dengan apa-apa perkara, dasar, program atau aktiviti yang secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana kementerian, jabatan atau agensi-agensinya.

(4) Jika Yang di-Pertua Negeri memberikan perkenannya di bawah subseksyen (2), Majlis hendaklah, sebelum fatwa itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memaklumkan Kerajaan Negeri tentang perujukan itu.

(5) Apabila sesuatu fatwa yang dicadangkan telah dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa itu hendaklah mengemukakan nasihat dan syornya kepada Majlis Raja-Raja mengikut subseksyen (2) tentang perkara itu.

(6) Jika Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan atau mengesyorkan supaya fatwa yang dibuat, dengan atau tanpa ubahsuaian yang disyorkan olehnya, atau menasihatkan atau mengesyorkan suatu fatwa lain tentang perkara yang sama dan Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu, maka Majlis hendaklah menimbang nasihat dan syor itu dan selepas itu bolehlah menyebabkan supaya fatwa mengikut nasihat dan syor itu disiarkan dalam Warta tanpa apa-apa pindaan atau ubahsuaian dan peruntukan-peruntukan seksyen (8), kecuali subseksyen 8(7), hendaklah terpakai baginya.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan penyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.