ENAKMEN 7 TAHUN 2002
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN III - PELANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA, JAWATANKUASA FATWA DAN FATWA YANG BERHUBUNGAN DENGAN PERKARA KEPENTINGAN NASIONAL



Seksyen 36. Tatacara pembuatan fatwa.

(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat sesuatu fatwa, Mufti boleh menyebabkan supaya kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan suatu kertas kerja disediakan.

(2) Bilamana Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.

(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, mengemukakan fatwa yang disediakan itu kepada Majlis.

(4) Majlis boleh, selepas menimbang teliti fatwa itu, membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.

(5) Syor yang dibuat di bawah subseksyen (4) hendaklah disertakan dengan memorandum penjelasan dan ulasan daripada Majlis jika Majlis berpendapat penjelasan dan ulasan itu perlu.

(6) Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Majlis hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan sesudah itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

(8) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan jawi boleh juga disiarkan.

(9) Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam Warta mengikut subseksyen (6).




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.