ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN III - MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA DAN KUASA-KUASA MENYIASAT
BAB VI



Seksyen 59. Pernyataan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama tidak boleh diterima dalam keterangan.

(1) Tertakluk kepada undang-undang keterangan yang sedang berkuatkuasa dalam Negeri dan kepada subseksyen (2), (3) dan (4), tiada pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang kepada Pegawai Penguatkuasa Agama dalam masa penyiasatan yang dijalankan di bawah Bab ini boleh digunakan sebagai keterangan.

(2) Mana-mana pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang kepada seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama dalam masa perbarisan identifikasi boleh digunakan sebagai keterangan.

(3) Jika mana-mana saksi (selain daripada yang dituduh) dipanggil untuk pihak pendakwa atau pihak pembela, Mahkamah hendaklah atas permintaan orang yang dituduh itu atau Pendakwa Syarie merujuk kepada mana-mana pernyataan yang telah dibuat oleh saksi itu kepada seorang Pegawai Penguatkuasa Agama dalam masa penyiasatan yang dijalankan di bawah Bab ini, dan boleh kemudiannya, jika Mahkamah fikirkan manfaat demi kepentingan keadilan, mengarahkan supaya orang yang dituduh itu diberi suatu salinannya dan pernyataan itu boleh digunakan bagi mencabar kebolehpercayaan saksi itu.

(4) Jika seseorang itu dituduh atas apa-apa kesalahan berhubung dengan pernyataan palsu yang dibuat olehnya kepada seorang Pegawai Penguatkuasa Agama dalam masa penyiasatan di bawah Bab ini, pernyataan itu boleh digunakan sebagai keterangan dalam pendakwaan itu.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.