ENAKMEN 12 TAHUN 1985
ENAKMEN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN KELUARGA ISLAM

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 48. Hidup semula sebagai suami isteri atau ruju'.

(1) Dalam seksyen ini "talaq raj'i" ertinya perceraian dengan satu atau dua talaq yang tidak diikuti dengan habis 'iddah, dan "bersekedudukan semula" ertinya hidup semula sebagai suami isteri dalam tempoh sebelum perceraian menjadi tak boleh ruju'.

(2) Jika, selepas sesuatu talaq raj'i, suami melafazkan ruju' dengan persetujuan bersama, suami hendaklah melaporkan hal ruju' itu dan butir-butir lain yang berkaitan kepada Pendaftar bagi mukim di mana suami bermastautin pada masa melapor.

(3) Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan, jika berpuas hati bahawa
ruju' telah berlaku mengikut Hukum Syara', hendaklah mendaftarkan ruju' itu dengan membuat suatu catateraan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya surat-surat perakuan cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka surat perakuan ruju' dalam borang yang ditetapkan.

(4) Pendaftar hendaklah juga menyerahkan satu salinan surat perakuan
ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan ruju' itu dengan membuat suatu catateraan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan yang disimpan olehnya.

(5) Suami yang tidak melaporkan hal
ruju' sebagaimana dikehendaki oleh subseksyen (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

(6) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh pendaftar yang kepadanya laporan di bawah subseksyen (2) itu dibuat, dia hendaklah merekodkan dalam surat-surat perakuan cerai nombor siri dan butir-butir surat perakuan
ruju' itu dan hendaklah menghantar surat-surat perakuan cerai kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan surat perakuan ruju' itu, dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu mendaftarkan ruju' itu dengan membuat suatu catateraan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan dan hendaklah menyerahkan salinan surat perakuan ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan ruju' itu dengan membuat catateraan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan yang disimpan olehnya.

(7) Jika talaq
raj'i telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu.

(8) Jika kemudian daripada
talaq raj'i, suami melafazkan ruju' dan isteri telah bersetuju terhadap ruju' itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik, menurut Hukum Syara', untuk sebaliknya, dan, jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 44 dan seksyen itu hendaklah di pakai sewajarnya.

(9) Jika selepas
talaq raj'i suami melafazkan ruju' tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap ruju' itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syara', dia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 44 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.