ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN V - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 5 - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM BERKENAAN DENGAN PERBICARAAN



Seksyen 107. Kuasa menunda atau menangguhkan perbicaraan.

(1) Jika, oleh kerana seseorang saksi tidak hadir atau kerana sebab-sebab yang lain munasabah, adalah menjadi perlu atau wajar untuk menundakan permulaan sesuatu perbicaraan atau menangguhkannya, Mahkamah boleh, dari semasa ke semasa, menunda atau menangguhkan perbicaraan itu untuk tempoh sebagaimana yang difikirkannya munasabah atas syarat-syarat sebagaimana yang difikirkannya patut dan boleh, dengan waran, menahan tertuduh jika dia dalam jagaan:

Dengan syarat bahawa seorang Hakim tidaklah boleh menahan seorang tertuduh dalam jagaan di bawah seksyen ini untuk tempoh yang melebihi lapan hari tiap-tiap kali:

Dengan syarat selanjutnya bahawa sekiranya Pegawai Perubatan Kerajaan telah memperakui bahawa pengadu tidak dapat memberi keterangan sebelum tarikh yang tertentu, tertuduh bolehlah ditahan sehingga ke suatu tarikh walau apa pun tempoh tahanannya akan melebihi lapan hari.

(2) Tiap-tiap perintah yang dibuat oleh Mahkamah di bawah seksyen ini hendaklah secara bertulis, ditandatangani oleh Hakim yang bersidang, dan hendaklah menyatakan sebab-sebab perintah itu dibuat.
Huraian-Jika didapati keterangan yang mencukupi yang menimbulkan syak bahawa tertuduh telah melakukan sesuatu kesalahan dan keterangan lanjut didapati mungkin boleh diperolehi dengan menahan tertuduh, ini adalah suatu sebab yang munasabah untuk menahannya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.