ENAKMEN 7 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH DALAM SYARAK 1991

BAHAGIAN III - MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI PENGUATKUASA SYARIAH DAN KUASA-KUASA MENYIASAT
BAB IV



Seksyen 58. Pemeriksaan saksi-saksi oleh Pegawai Penguatkuasa Syariah.

(1) Seseorang Pegawai Penguatkuasa Syariah yang membuat suatu penyiasatan di bawah Bab ini boleh memeriksa dengan lisan mana-mana orang yang dianggap mengetahui akan perkara-perkara dan keadaan-keadaan kes itu dan hendaklah menuliskan apa-apa kenyataan yang dibuat oleh orang yang diperiksa sedemikian itu.

(2) Orang tersebut terpaksa menjawab segala soalan berhubung dengan kes itu yang dikemukakan kepadanya oleh pegawai itu:

Dengan syarat bahawa orang tersebut boleh enggan menjawab apa-apa soalan yang jawapannya mungkin mendedahkan dia kepada suatu pertuduhan jenayah atau penalti atau rampasan.

(3) Seseorang yang membuat sesuatu kenyataan di bawah seksyen ini hendaklah terpaksa menurut undang-undang menjawab dengan benar sama ada atau tidak kenyataan itu dibuat bagi menjawab keseluruhan atau sebahagian daripada soalan-soalan.

(4) Seseorang Pegawai Penguatkuasa Syariah yang memeriksa seseorang di bawah sub-seksyen (1) hendaklah terlebih dahulu memaklumkan kepada orang itu peruntukan-peruntukan sub-seksyen (2) dan (3).

(5) Sesuatu kenyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah seksyen ini hendaklah apabila perlu dituliskan dan ditandatangani atau dicap jari oleh orang yang membuatnya di hadapan dua orang saksi sebagaimana yang berkenaan, selepas kenyataan itu dibaca balik kepadanya di dalam bahasa yang ia telah dibuat dan selepas dia diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan yang dia dikehendaki.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.