ENAKMEN 3 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991

BAHAGIAN VIII - PENDIDIKAN AGAMA



Seksyen 113. Sekolah agama Islam bukan milik Kerajaan.

(1) Kawalan ke atas sekolah agama Islam bukan milik Kerajaan hendaklah terletak pada Majlis dan Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk mendaftar dan mengawal perjalanan sekolah itu dan meluluskan kurikulum sekolah itu.

(2) Majlis boleh mengarahkan mana-mana pegawainya memeriksa mana-mana sekolah agama Islam bukan milik Kerajaan bagi maksud memuaskan hatinya bahawa semua kehendak Majlis adalah dipatuhi.

(3) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk memerintahkan mana-mana orang yang telah diambil bekerja atau akan diambil bekerja sebagai guru di mana-mana sekolah agama Islam bukan milik Kerajaan menjalani ujian yang diadakan oleh Jawatankuasa dan jika orang itu tidak berjaya lulus ujian tersebut, Majlis hendaklah mempunyai kuasa membatal atau menolak perlantikannya sebagai guru di sekolah itu.

(4) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ditutup mana-mana sekolah agama Islam bukan milik Kerajaan yang Jawatankuasa anggap tidak memuaskan.

(5) Seseorang yang melanggar mana-mana peruntukan seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(6) Bagi maksud seksyen ini sekolah agama Islam bermaksud mana-mana sekolah, madrasah, pusat pengajian atau mana-mana tempat di mana pendidikan agama Islam diajar termasuklah pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pra-universiti.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.