ENAKMEN 12 TAHUN 1994
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1994
BAHAGIAN I - KERELEVENAN
BAB 1 - PERMULAAN
Seksyen 3. Tafsiran.
(1) Dalam Enakmen ini melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-
"baligh" ialah seorang yang cukup umur mengikut Hukum Syarak;
"bayyinah" ertinya keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan termasuk qarinah;
"dibuktikan" suatu fakta adalah "dibuktikan" apabila setelah menimbangkan perkara-perkara di hadapannya, Mahkamah percaya bahawa fakta itu wujud atau berpendapat wujudnya akta itu adalah sebegitu mungkin bahawa seseorang yang waras, dalam hal keadaan yang berkenaan itu seharusnya bertindak atas anggapan bahawa fakta itu adalah wujud;
"dibuktikan" sebaliknya" sesuatu fakta adalah dikatakan "dibuktikan sebaliknya" apabila, setelah menimbangkan perkara-perkara di hadapannya, Mahkamah percaya fakta itu tidak wujud atau berpendapat tidak wujudnya fakta itu adalah sebegitu mungkin bahawa seseorang yang waras dalam hal keadaan yang berkenaan itu seharusnya bertindak atas anggapan bahawa fakta itu adalah tidak wujud;
"dokumen" ertinya apa-apa hal yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua pun peranti lain, dengan menggunakan-
(a)
huruf, angka, tanda, simbol, isyarat, lambang atau apa jua pun bentuk pernyataan, perihalan, atau gambaran lain;
(b)
apa-apa rakaman visual (sama ada imej kuku atau bergerak);
(c)
apa-apa rakaman bunyi, atau apa-apa jua pun rakaman elektronik, magnetik, mekanikal, atau rakaman lain dan walau bagaimana jua pun dibuat, atau apa-apa bunyi, dedenyut elektronik, atau apa jua pun data lain;
(d)
sesuatu rakaman, atau pemancaran, dari suatu jarak, apa-apa hal dengan mana-mana, atau apa-apa kombinasi, cara yang disebut dalam perenggan (
a
), (
b
) atau (
c
), dengan lebih daripada satu cara yang disebut dalam perenggan (
a
), (
b
), (
c
) dan (
d
), yang dimaksudkan untuk digunakan atau yang mungkin digunakan bagi tujuan menyatakan, memperihalkan, atau dengan apa jua cara sekalipun menggambarkan, hal itu;
MISALAN
Tulisan ialah dokumen.
Perkataan yang dicetak, dilitograf atau difotograf ialah dokumen.
Peta, pelan, graf atau lakaran ialah dokumen.
Inskripsi pada kayu logam atau batu atau kayu ialah dokumen.
Lukisan, citra, gambar atau karikatur ialah dokumen.
Fotograf atau negatif ialah dokumen.
Rakaman pita komunikasi telefon, termasuklah rakaman komunikasi sedemikian yang dipancarkan dari suatu jarak, ialah dokumen.
Rakaman fotografi atau rakaman visual lain, termasuklah rakaman pemancaran fotografi atau pemancaran visual lain dari suatu jarak, ialah dokumen.
Hal yang dirakamkan, disimpan, diproses, didapatkan semula atau dikeluarkan oleh komputer ialah dokumen.
"fakta" ertinya dan termasuklah-
(a)
sesuatu, keadaan sesuatu atau hubungan sesuatu yang boleh diketahui dengan pancaindera; atau
(b)
apa-apa keadaan fikiran yang disedari oleh seseorang;
MISALAN
(a)
Bahawa ada benda tertentu teratur mengikut susunan tertentu dalam suatu tempat tertentu adalah suatu fakta;
(b)
Bahawa seseorang telah mendengar atau melihat sesuatu adalah suatu fakta;
(c)
Bahawa seseorang telah menyebut perkataan-perkataan tertentu adalah suatu fakta;
(d)
Bahawa seseorang telah berpegang kepada suatu pendapat tertentu, mempunyai suatu niat tertentu, bertindak dengan suci hati atau dengan tipuan, atau menggunakan sesuatu perkataan tertentu dengan sesuatu pengertian tertentu, atau sedar pada suatu masa yang tertentu akan perasaan tertentu, adalah suatu fakta;
(e)
Bahawa seseorang yang mempunyai suatu reputasi baik tertentu adalah suatu fakta.
"fakta persoalan" ertinya mana-mana fakta yang darinya sama ada dengan sendirinya atau berhubung dengan lain-lain fakta, wujudnya atau tidak wujudnya, jenis atau luasnya apa-apa hak, atau tanggungan atau ketakupayaan ditegaskan atau dinafikan dalam sesuatu guaman atau prosiding, semestinya ternyata;
MISALAN
A dituduh berkhalwat dengan B.
Di dalam pembicaraannya, fakta-fakta yang berikut boleh menjadi persoalan bahawa A berada berdua-duaan dengan B di dalam sebuah bilik tertutup; bahawa A berdua-duan dengan B di dalam kereta yang diletakkan di tempat sunyi.
"filem" ertinya termasuk mikrofilem dan apa-apa negatif;
"Hakim" ertinya Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rendah Syariah yang dilantik di bawah seksyen 7(1)(
a
) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1985
[Enak. 6/85]
;
"Hukum Syarak" ertinya Undang-Undang Islam dalam mana-mana Mazhab yang sah;
"keterangan" ertinya dan termasuk-
(a)
baiyinah dan syahadah;
(b)
segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat:
Pernyataan-pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan
(c)
segala dokumen dikemukakan untuk diperiksa oleh Mahkamah.
Dokumen-dokumen sedemikian disebut keterangan dokumen;
"komputer" ertinya apa-apa peranti bagi merekodkan, menyimpan, memproses, mendapatkan semula atau mengeluarkan apa-apa malkumat atau hal lain, atau bagi melaksanakan mana-mana satu fungsi itu atau lebih, tidak kira dengan nama atau perihalan apa pun peranti itu disebut; dan jika dua komputer atau lebih menjalankan mana-mana satu fungsi itu atau lebih dalam satu kombinasi atau berturutan atau walau bagaimana jua pun selainnya disatukan komputer-komputer itu hendaklah dikira sebagai komputer;
"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah yang ditubuhkan menurut seksyen 8 Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1985;
"mikrofilem" ertinya apa-apa bahan lutsinar yang mempunyai imej visual dalam saiz yang dikurangkan sama ada secara tunggal atau sebagai suatu siri dan termasuk mikrofis;
"negatif" ertinya suatu fotograf negatif lutsinar pada apa-apa benda atau bahan, dan termasuk apa-apa fotograf negatif lutsinar yang dibuat daripada fotograf negatif asal;
"Peguam Syarie" ertinya seseorang yang dilantik sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 19A Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1985;
"qarinah" ertinya fakta yang ada hubungan dengan fakta yang lain dengan apa-apa cara yang disebutkan dalam Hukum Syarak atau yang dihuraikan dalam Enakmen ini;
"saksi" ertinya tidak termasuk tertuduh dalam prosiding jenayah dan pihak-pihak dalam prosiding mal;
"syahadah" ertinya keterangan yang bersifat benar di Mahkamah dengan menggunakan lafaz 'ashadu' untuk mensabitkan hak atau kepentingan seseorang ke atas seorang lain, dan apabila sabit ia mengikat Hakim;
"tidak dibuktikan" sesuatu fakta adalah dikatakan "tidak dibuktikan" apabila fakta itu tidak "dibuktikan" atau tidak "dibuktikan sebaliknya" mengikut Enakmen ini;
"urf" ertinya adat atau kebiasaan yang diiktiraf oleh masyarakat atau golongan yang tertentu sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan.
(2) Bagi mengelakkan keraguan berkenaan sifat atau tafsiran perkataan atau ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan boleh dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan yang ditunjukkan bertentangan dengannya.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.