ENAKMEN 13 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1992

BAHAGIAN II
MAJLIS UGAMA ISLAM NEGERI SABAH



Seksyen 5. Identiti disisi undang-undang dan kuasa-kuasa Majlis.

(1) Majlis hendaklah menjadi suatu pertubuhan perbadanan yang kekal turun-temurun dan mempunyai suatu meterai perbadanan, dan meterai tersebut boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukar, diubah dan dibuat baharu sebagaimana difikirkan patut oleh Majlis, dan, sehingga suatu meterai diadakan di bawah seksyen ini, suatu cap yang mengandungi tulisan "Majlis Ugama Islam Sabah" bolehlah digunakan sebagai meterai perbadanan.

(2) Majlis boleh mendakwa dan didakwa dengan nama perbadanannya.

(3) Majlis boleh mengikat kontrak dan boleh memperolehi, membeli, mengambil, memegang dan menikmati segala perihal harta alih dan tak alih, dan, tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis yang menyentuhnya, boleh memindahhak, menyerahhak, menyerah dan memulangkan, menggadai, menggadai-janji, mendemis, menyerahhak semula, memindah milik atau selainnya melupuskan, atau menguruskan, mana-mana harta alih atau tak alih yang terletakhak pada Majlis atas terma-terma yang difikirkan patut oleh Majlis dan sejajar dengan Hukum Syarak.

(4) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindakan sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.

(5) Majlis hendaklah mempunyai apa-apa kuasa selanjutnya dan menjalankan apa-apa kewajipan yang diberi kepadanya oleh Enakmen ini atau mana-mana undang-undang lain.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.