ENAKMEN 6 TAHUN 1991
ENAKMEN KESALAHAN SYARIAH (NEGERI MELAKA) 1991

BAHAGIAN II - KECUALIAN AM



Seksyen 26. Perbuatan yang tiada hak mempertahankan diri.


(1) Tidaklah ada hak mempertahankan diri terhadap sesuatu perbuatan yang tidak munasabah menyebabkan ketakutan mati atau cedera parah, jika perbuatan itu dilakukan, atau dicuba dilakukan, oleh seseorang penjawat awam yang bertindak dengan suci hati atas kuasa jawatannya, meskipun perbuatan itu mungkin tidak diluluskan di sisi undang-undang dengan sepenuhya.

(2) Tidaklah ada hak mempertahankan diri terhadap sesuatu perbuatan yang tidak munasabah menyebabkan ketakutan mati atau cedera parah, jika perbuatan itu dilakukan, atau dicuba dilakukan, menurut arahan seseorang penjawat awam yang bertindak dengan suci hati atas kuasa jawatannya, meskipun arahan itu mungkin tidak diluluskan di sisi undang-undang dengan sepenuhnya.

(3) Tidaklah ada hak mempertahankan diri dalam hal-hal yang sempat mendapat perlindungan pihak berkuasa awam.

(4) Hak mempertahankan diri tidaklah sekali-kali termasuk mengenakan kerosakan yang lebih yang perlu dikenakan bagi maksud mempertahankan diri.

Huraian 1 - Seseorang tidaklah terlucut hak mempertahankan diri terhadap sesuatu perbuatan yang dilakukan, atau dicuba dilakukan, oleh seseorang penjawat awam, atas sifatnya sebagai penjawat awam, melainkan jika ia diketahui, atau ada sebab mempercayai bahawa orang yang melakukan perbuatan itu adalah seorang penjawat awam yang sedemikian.

Huraian 2 - Seseorang tidaklah melucut hak mempertahankan diri terhadap sesuatu perbuatan yang dilakukan, atau dicuba dilakukan, menurut arahan seseorang penjawat awam melainkan jika ia ketahui, atau ada sebab mempercayai, bahawa orang yang melakukan perbuatan itu adalah bertindak menurut arahan tersebut; ataupun melainkan jika orang itu menyatakan kuasa yang membolehkan ia bertindak ataupun, sekiranya orang itu mempunyai kuasa bertulis, melainkan jika ia menunjukkan kuasa itu, apabila diminta.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.