ENAKMEN 5 TAHUN 2004
ENAKMEN MAJLIS UGAMA ISLAM NEGERI SABAH 2004

BAHAGIAN II - MAJLIS UGAMA ISLAM NEGERI SABAH



Seksyen 22. Memanggil mesyuarat

(1) Semua mesyuarat Majlis hendaklah dipanggil oleh Setiausaha.

(2) Pengerusi boleh pada bila-bila masa mengarahkan Setiausaha memanggil mesyuarat.

(3) Mana-mana lima orang ahli Majlis boleh pada bila-bila masa secara bertulis menghendaki Setiausaha memanggil mesyuarat Majlis dengan syarat mereka memberitahu Setiausaha maksud yang baginya mereka menghendaki mesyuarat itu dipanggil.

(4) Setiausaha hendaklah memanggil mesyuarat dalam tempoh empat belas hari dari tarikh penerimaan arahan di bawah subseksyen (2) atau kehendak di bawah subseksyen (3).

(5) Notis bertulis sekurang-kurangnya tujuh hari hendaklah diberikan mengenai mana-mana mesyuarat, tetapi Pengerusi boleh, jika dia berpendapat bahawa ada keperluan mendesak untuk memanggil suatu mesyuarat dengan notis yang lebih singkat, mengarahkan supaya kehendak notis tujuh hari itu diketepikan.

(6) Notis mesyuarat boleh dihantar dengan pos, faksimili atau E-mel.

(7) Notis yang dihantar kepada seseorang ahli dengan pos hendaklah dialamatkan ke tempat tinggalnya yang terakhir diketahui dan hendaklah disifatkan telah disampaikan mengikut perjalanan biasa pos.

(8) Notis yang dihantar kepada seseorang ahli dengan faksimili hendaklah dihantar kepada nombor faksimili yang diberikan oleh ahli itu secara bertulis kepada Setiausaha dan hendaklah disifatkan telah diterima oleh ahli itu apabila kod panggilan balik diterima oleh Setiausaha.

(9) Notis yang dihantar kepada seseorang ahli dengan E-mel hendaklah dihantar ke alamat E-mel ahli itu yang diberikan kepada Setiausaha secara bertulis dan hendaklah disifatkan telah diterima apabila pentadbir mel yang berkenaan memaklumkan bahawa mel itu sudah berjaya dihantar atau jika tidak ada makluman daripada pentadbir mel bahawa mel itu tidak berjaya dihantar.

(10) Tiada notis mesyuarat diperlukan dalam hal ahli yang sedang berada di luar Malaysia.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.