ENAKMEN 4 TAHUN 1994
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN 1994

BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN
JAMAAH ULAMA'



Seksyen 36. Fatwa.

(1) Mana-mana orang dengan secara bertulis, boleh meminta Majlis mengeluarkan fatwa tentang apa-apa masalah mengenai Hukum Syarak atau Adat Istiadat Melayu Kelantan, dan apabila permintaan seumpama itu diterima, Setiausaha hendaklah segera mengedarkannya kepada Pengerusi Jamaah Ulama'.

(2) Jamaah Ulama' hendaklah menimbang tiap-tiap permintaan itu dan hendaklah, melainkan pada fikirannya masalah yang dikemukakan itu adalah tidak munasabah dan kerana sebab-sebab tertentu tidak patut diberi jawapan, menyediakan satu draf fatwa baginya, dan jika draf fatwa itu dipersetujui, sama ada dengan sebulat suara atau dengan suara yang terbanyak, maka pengerusi, bagi pihak dan dengan nama Majlis, hendaklah mengeluarkan fatwa.

(3) Jika masalah yang dikemukakan itu tidak dapat diselesaikan dengan fatwa mengikut cara-cara di bawah subseksyen (2), maka Jamaah Ulama' hendaklah merujukkan masalah tersebut kepada Majlis yang akan mengeluarkan fatwanya dengan berpandukan kepada pandangan dan pendapat Mufti:

Dengan syarat, bahawa dengan sebab-sebab khusus, mana-mana masalah bolehlah disembahkan oleh Majlis kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan untuk mendapat penentuan Baginda.

(4) Jamaah Ulama' boleh, atas daya usahanya sendiri, pada bila-bila masa, membuat dan mengisytiharkan apa-apa fatwa bagi pihak dan atas nama Majlis.

(5) Walau apa pun yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang bertulis, Mufti tidaklah boleh disaman untuk memberi pendapat atau keterangan mengenai undang-undang Islam di dalam mana-mana Mahkamah Awam atau Mahkamah Syariah, tetapi jika di dalam Mahkamah lain daripada Mahkamah Syariah, sesuatu soalan Hukum Syarak patut diputuskan, Mahkamah itu boleh meminta Mufti memberi pendapat mengenai hal itu, dan Mufti boleh memberikan pendapatnya kepada Mahkamah itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.