ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN MAHKAMAH SYARIAH 2004

BAHAGIAN IV - PEMANSUHAN DAN PERUNTUKAN PERALIHAN



Seksyen 34. Pemansuhan dan peruntukan peralihan.

(1) Enakmen Mahkamah Syariah 1992, adalah dengan ini dimansuhkan.

(2) Apabila mula berkuat kuasanya Enakmen ini, segala kuasa Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah Enakmen dimansuhkan hendaklah diambil alih atau dijalankan oleh Mahkamah Syariah yang dibentuk di bawah Enakmen ini dan apa-apa sebutan di dalam mana-mana undang-undang bertulis atau selainnya mengenai Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah Enakmen dimansuhkan hendaklah disifatkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Syariah yang dibentuk di bawah Enakmen ini.

(3) Apa-apa prosiding, tindakan, tuntutan atau liabiliti yang dibuat, dimulakan, difailkan, dijalankan atau dilakukan di dalam atau di hadapan Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah Enakmen dimansuhkan terdahulu daripada tarikh mula berkuat kuasanya Enakmen ini, hendaklah disifatkan telah diteruskan atau telah dilakukan seolah-olah Mahkamah Syariah itu telah dibentuk dengan sempurna di bawah Enakmen ini.

(4) Semua kaedah mahkamah dan perundangan subsidiari lain yang dibuat di bawah dan apa-apa tindakan yang dilakukan dengan sahnya di bawah atau menurut kuasa Enakmen dimansuhkan hendaklah, setakat kaedah-kaedah mahkamah atau perundangan subsidiari itu tidak takkonsisten dengan Enakmen ini, disifatkan telah dibuat di bawah atau menurut kuasa Enakmen ini, dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga dipinda, dimansuhkan, diungkaikan, dibatalkan atau digantikan di bawah atau menurut kuasa Enakmen ini.

DIPERAKUKAN oleh saya sebagai salinan Rang Undang-Undang yang tulen yang telah diluluskan oleh Majlis Dewan Undangan pada hari Rabu, 11 Ogos 2004.
DATUK JAMES ANDREW VITALES.
Timbalan Speaker,
Dewan Undangan Negeri.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.