ENAKMEN 6 TAHUN 1993
ENAKMEN ZAKAT DAN FITRAH 1993
BAHAGIAN IX - KESALAHAN DAN PENALTI
Seksyen 71. Kuasa mengkompaun kesalahan.
(1) Jika mana-mana orang telah melakukan apa-apa kesalahan di bawah Enakmen ini, Setiausaha boleh pada bila-bila masa sebelum sabitan mengkompaunkan kesalahan itu dan memerintahkan orang itu supaya membayar apa-apa jumlah wang, tidak melebihi amaun yang setinggi-tingginya bagi denda itu dan apa-apa penalti khas yang orang itu tetap dikenakan kiranya dia telah disabitkan atas kesalahan itu, sebagaimana yang difikirkannya patut:
Dengan syarat bahawa Setiausaha tidak boleh menjalankan kuasanya di bawah seksyen ini melainkan orang itu mengakui secara bertulis bahawa dia telah melakukan kesalahan itu dan meminta kepada Setiausaha menguruskan kesalahan tersebut di bawah seksyen ini.
(2) Jika di bawah seksyen ini Setiausaha mengkompaunkan suatu kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana orang dan membuat suatu perintah dengan sewajarnya -
(a) perintah itu hendaklah dibuat secara bertulis yang ditandatangani oleh Setiausaha dan hendaklah dilampirkan bersama-samanya itu pengakuan salah secara bertulis dan permintaan seperti yang disebutkan dalam subseksyen (1);
(b) perintah ini hendaklah menyebutkan -
(i) kesalahan yang dilakukan;
(ii) jumlah wang yang diperintahkan supaya dibayar; dan
(iii) tarikhnya bayaran hendak dibuat atau tarikh-tarikhnya ansuran terhadap jumlah wang itu hendaklah dibayar mengikut mana yang berkenaan, dan, jika perintah itu membuat peruntukan mengenai bayaran secara ansuran dan ada berlaku kemungkiran dalam bayaran apa-apa ansuran maka semuanya baki yang belum dijelaskan ketika itu hendaklah menjadi terhutang dan kena dibayar dengan serta merta;
(c) sesalinan perintah itu hendaklah diberikan, jika dia meminta sedemikian,
kepada orang yang melakukan kesalahan itu;
(d) orang itu tidaklah boleh dikenakan dakwaan atau, mengikut mana yang berkenaan, apa-apa dakwaan selanjutnya, berkenaan dengan kesalahan itu dan, jika mana-mana pendakwaan itu atau pendakwaan selanjutnya dibawa, maka adalah menjadi pembelaan yang baik bagi orang itu membuktikan bahawa kesalahan itu telah dikompaunkan di bawah seksyen ini;
(e) perintah itu adalah muktamad dan tidaklah tertakluk kepada apa-apa rayuan;
(f) perintah itu boleh dikuatkuasakan mengikut cara yang sama seperti penghakiman oleh Mahkamah berkenaan dengan pembayaran akan amaun yang dinyatakan dalam perintah itu atau amaun yang belum dijelaskan, mengikut mana yang berkenaan; dan
(g) perintah itu hendaklah, apabila dikemukakan kepada Mahkmaah, dianggapkan sebagai bukti tentang berlakunya kesalahan itu oleh orang tersebut dan juga perkara-perkara lain yang diterangkan dalamnya itu.
(3) Setiausaha boleh mengurangkan atau meremitkan apa-apa penalti yang dikenakan di bawah Enakmen ini kecuali penalti yang dikenakan sabit kesalahan.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.