ENAKMEN 8 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2002

BAHAGIAN VI - DARIHAL RAYUAN DAN PENYEMAKAN
BAB 2 - DARIHAL RAYUAN KEPADA MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH



Seksyen 155. Petisyen rayuan

(1) Dalam masa sepuluh hari selepas tarikh penyampaian rekod yang disebutkan dalam subseksyen 154(2), perayu hendaklah memfailkan dengan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah suatu petisyen rayuan dan lima salinannya yang dialamatkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

(2) Tiap-tiap petisyen rayuan hendaklah ditandatangani oleh perayu atau Peguam Syarienya dan hendaklah mengandungi butir-butir tentang perkara-perkara undang-undang atau fakta yang berkenaan dengannya Mahkamah perbicaraan dikatakan telah silap, dan, kecuali dengan kebenaran Mahkamah Rayuan Syariah, perayu tidak boleh semasa pendengaran rayuan itu dibenarkan bergantung atas apa-apa alasan rayuan selain daripada yang dinyatakan dalam petisyen itu.

(3) Jika suatu petisyen tidak difailkan dalam masa yang ditetapkan oleh seksyen ini, rayuan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik, tetapi tiada apa-apa jua dalam subseksyen ini boleh disifatkan menghadkan atau menyekat kuasa untuk melanjutkan masa yang diberikan kepada Mahkamah Rayuan Syariah oleh seksyen 158.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.