ENAKMEN 1 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARA' NEGERI SEMBILAN 1991
BAHAGIAN V
Pungutan Khairat
Seksyen 71. Pungutan Khairat.
(1) Majlis boleh memungut atau memberikan surat kebenaran dengan terma-terma yang difikirkannya patut kepada mana-mana orang atau kumpulan orang, membenarkan orang atau kumpulan orang itu memungut wang-wang atau sumbangan-sumbangan lain bagi apa-apa maksud khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak.
(2) Maka hendaklah disifatkan sebagai suatu terma tiap-tiap surat kebenaran itu bahawa penerima kebenaran itu dan tiap-tiap orang lain yang dibenarkan melaluinya untuk memungut wang-wang atau sumbangan lain hendaklah
----
(a)
mengeluarkan berkenaan dengan tiap-tiap jumlah wang yang dipungut sedemikian suatu resit mengikut nombor siri dalam borang yang ditetapkan;
(b)
menyimpan akaun-akaun yang benar dan lengkap bagi semua jumlah wang yang dipungut sedemikian dan tentang pelupusannya dengan semua baucar yang sepatutnya;
(c)
mengemukakan apabila dituntut potongan resit dan semua akaun dan baucar itu bagi pemeriksaan dan pengauditan oleh Majlis; dan
(d)
menggunakan dan memupuskan semua jumlah wang yang dipungut sedemikian mengikut terma-terma surat kebenaran itu atau, jika tiada cara melupuskan wang itu dibenarkan dengan nyata olehnya, membayar dan mengakaunkannya kepada Baitulmal.
(3) Wang-wang yang dipungut menurut seksyen ini boleh digunakan bagi apa-apa maksud yang dinyatakan dan diluluskan oleh Majlis.
(4) Tiada seorang pun boleh membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pungutan wang bagi apa-apa maksud seperti yang disebut di bawah subseksyen (1) kecuali dengan kuasa nyata daripada Majlis atau menurut kuasa surat kebenaran di bawah subseksyen yang sama.
(5) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (4) adalah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.