ENAKMEN 13 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1992

BAHAGIAN VI - MASUK AGAMA ISLAM



Seksyen 74. Pendaftaran muallaf.

(1) Seseorang yang telah masuk Islam boleh memohon kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk pendaftaran sebagai seorang muallaf.

(2) Jika Pendaftar berpuas hati bahawa kehendak-kehendak seksyen 69 telah dipenuhi berkenaan dengan orang itu, Pendaftar boleh mendaftarkan kemasukan Islam orang itu dengan mencatatkan dalam Daftar Muallaf nama orang itu dan butir-butir lain sebagaimana yang dikehendaki.

(3) Pendaftar hendaklah juga menentukan tarikh masuk Islam dan mencatatkan tarikh itu dalam Daftar Muallaf.

(4) Untuk memuaskan hatinya akan hal dan tarikh masuk Islam, dan buti-butir lain yang dicatatkan dalam Daftar Muallaf, Pendaftar boleh membuat siasatan-siasatan dan memanggil apa-apa keterangan sebagaimana yang dia fikirkan perlu, tetapi subseksyen ini tidak boleh ditafsirkan sebagai menghalang Pendaftar daripada hanya bergantung kepada kata-kata pemohon bagi kemasukan Islam itu setakat yang berkenaan dengan hal dan tarikh masuk Islam itu.

(5) Jika Pendaftar tidak berpuas hati bahawa kehendak-kehendak seksyen 69 telah dipenuhi berkenaan dengan pemohon bagi kemasukan Islam, dia boleh membenarkan pemohon itu mengucap, di hadapannya atau di hadapan mana-mana pegawainya, dua kalimah Syahadah mengikut kehendak seksyen itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.