ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN MAHKAMAH SYARIAH 2004

BAHAGIAN II - MAHKAMAH SYARIAH
Penubuhan dan Bidang Kuasa



Seksyen 8. Tempoh memegang jawatan Hakim Mahkamah Syariah.

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2) hingga (6), Ketua Hakim Syar'ie Negeri yang dilantik di bawah seksyen 5(1), seseorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dilantik di bawah seksyen 6(1), dan seseorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang dilantik dibawah seksyen 7(1), boleh memegang jawatan sehingga dia mencapai umur enam puluh lima tahun atau sehingga suatu masa kemudiannya, sebagaimana yang diluluskan oleh Yang di-Pertua Negeri.

(2) Ketua Hakim Syar' ie Negeri atau Hakim Mahkamah Rayuan Syariah atau Hakim Mahkamah Tinggi Syariah boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa dengan mengutuskan surat yang ditandatangani olehnya kepada Yang di-Pertua Negeri tetapi dia tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali mengikut peruntukan-peruntukan berikut dalam seksyen ini.

(3) Jika Ketua Hakim Syar' ie Negeri merujukkan representasi kepada Yang di-Pertua Negeri menyatakan bahawa seseorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah atau Hakim Mahkamah Tinggi Syariah patut dipecat atas alasan -

Yang di-Pertua Negeri hendaklah melantik suatu tribunal mengikut subseksyen (4) dan merujukkan representasi itu kepadanya, dan boleh, atas syor tribunal itu, memecat Hakim itu daripada jawatan.

(4) Maka hendaklah ada suatu tribunal yang mengandungi tidak kurang daripada lima orang beragama Islam yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syar'ie Negeri atau Hakim Syar'ie atau Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi Malaysia, dan tribunal itu hendaklah diketuai oleh ahli mengikut susunan berikut; iaitu Ketua Hakim Syar' ie Negeri, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah mengikut susunan pelantikan mereka sendiri dan ahli-ahli lain mengikut tarikh pelantikan mereka menjadi ahli tribunal.

(5) Sementara menantikan apa-apa rujukan dan laporan di bawah subseksyen (3), Yang di-Pertua Negeri boleh, atas syor Ketua Hakim Syar'ie Negeri, menggantung Hakim tersebut daripada menjalankan fungsinya.

(6) Tertakluk kepada seksyen ini, Yang di-Pertua Negeri boleh membuat peraturan bagi membuat peruntukan mengenai syarat-syarat jawatan, perletakan, penggantungan dan perlucutan dari jawatan Ketua Hakim Syar'ie Negeri.

(7) Walau apapun subseksyen (1), keesahan apa-apa perkara yang dilakukan oleh Ketua Hakim Syar'ie Negeri atau seseorang Hakim Syar'ie tidak boleh dipersoal atas alasan bahawa Hakim Syar' ie telah mencapai had umur bersara.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.